Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DO: Aktiviti perlombongan lama faktor tanah runtuh di Serendah
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 4:13 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Aktiviti perlombongan yang dijalankan lebih 20 tahun lepas merupakan faktor berlaku aliran air bawah tanah yang menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di Hulu Selangor baru-baru ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata bagaimanapun aliran air itu telah berjaya disalurkan menggunakan kaedah 'piling' dan 'roofpile' oleh pihak jurutera.

Kerja-kerja membaik pulih sedang giat dilakukan dan dijangka selesai minggu depan, katanya.

Beliau juga berkata laluan sementara telah siap dan boleh digunakan penduduk untuk kegiatan harian.

"Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai 5 petang ini setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengesahkan bahawa kawasan mereka selamat diduduki," katanya kepada dalam sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Mengenai kewujudan aliran air yang dikatakan berpunca daripada projek yang dijalankan di kawasan perumahan bersebelahan Taman Idaman, Mohd Fauzi menafikan punca tersebut.

Sementara itu seorang guru agama, Azizah Ahmad, 74, melahirkan rasa syukur berikutan pengumuman yang membolehkan beliau dan suaminya, Hashim Wahab, 77, pulang semula ke rumah mereka setelah lebih dua minggu menetap di penempatan sementara.

Beliau berkata beliau juga berasa seronok kerana dapat bertemu dengan kenalan-kenalan lamanya yang turut berada dipenempatan sementara itu.

Seorang pesara Fuat Muhammad, 59, berharap kejadian seperti itu dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak dan tidak mengambil sikap sambil lewa berhubung struktur tanah yang dijadikan kawasan tempat tinggal.

"Diharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana ia akan menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS