Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelamin impian 'musnah', mempelai maut sebelum nikah
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 4:36 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Manusia hanya merancang, tuhan menentukan segalanya.

Begitu nasib Yusra Fitriani, 31, yang sepatutnya bersanding di atas pelamin bersama lelaki dicintainya.

Ketika semua angan indahnya semakin menjelma tiba-tiba Aceh dilanda gempa dan memakan korban yang ramai.

Lelaki yang sepatutnya menjadi suami Yusra - Suharnas - adalah seorang daripada yang terkorban.

Dan Yusra menerima berita kematian bakal suaminya itu sehari sebelum mereka sepatutnya diijab kabul.

Aceh dilanda gempa bumi kuat - berukuran 6.4 magnitud - pada pagi 7 Disember lalu dan sekurang-kurangnya 90 orang disahkan terbunuh.

Ia adalah bencana alam terburuk dialami Aceh selepas tsunami pada 26 Disember 2004, mengorbankan lebih 230,000 orang di 14 negara.

Korban tertinggi dan kerosakan terburuk dicatatkan di Aceh.

Portal berita tribunnews.com melaporkan Suharnas, 32, ditemui tidak bernyawa dipercayai ditimpa runtuhan kedai miliknya di Meureudu, Pidie.

Ayah Yusra, M Yunus, berkata pasangan terbabit sudah mengenali satu sama lain sejak lama sebelum mengikat tali pertunangan sebulan lalu.

“Kami pihak keluarga (perempuan) pilih tarikh 8 (Disember) atas nasihat orang tua di kampung ini. Tetapi manusia hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan segalanya,” M Yunus dilaporkan sebagai berkata.

Lebih memilukan, bukan Suharnas saja yang terbunuh, malah adik, kakak kandung, ipar serta anak saudara pemuda itu turut terkorban.

Difahamkan, keluarga Suharnas berada di dalam kedai itu kerana sibuk menyiapkan urusan pernikahan tersebut.

M Yunus berkata pihaknya sudah mengedarkan jemputan kepada kira-kira 1,000 tetamu. Sebahagian besar mereka sudah dimaklumkan mengenai kematian Suharnas.

Sementara itu, Yusra pula hanya terdiam dan hanya berkurung di di dalam bilik yang telah dihias untuk hari bahagia mereka, manakala pelamin yang sudah disiapkan menjadi sepi.

Tempahan makanan seperti kuih-muih yang dipesan lebih awal, dihantar ke rumah Yusra tetapi suasana di situ adalah berbeza sama sekali. Ia bukan lagi kenduri kegembiraan tetapi detik mengenang kesedihan.

Lebih 40 kedai di kawasan Meureudu dilaporkan rosak dan 23 orang disahkan meninggal dunia.

Lihat Komen
ADS