Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin dakwa siasatan dana luar cuma 'wayang'
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 6:10 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mendakwa siasatan pihak berkuasa terhadap pertubuhan yang menerima dana daripada Yayasan Open Society (OSF) adalah sandiwara untuk mengalih tumpuan orang ramai.

Kata Azmin selepas gagal mewujudkan suasana positif kepada rakyat maka kerajaan kini menanamkan ketakutan dan kebimbangan menggunakan "taktik lapuk" bekenaan, sekali gus mengubah fokus umum kepada krisis dihadapi Umno.

Justeru timbalan presiden PKR itu menggesa Datuk Seri Najib Razak dan Umno menghentikan "pembulian" terhadap aktivis sivil di negara ini.

"Mereka sebenarnya adalah orang yang cuba menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada 10 Disember kata Azmin, beliau menyeru Najib dan Umno menghentikan "pembulian" yang sedang berlaku.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media kini disiasat kerana menerima dana OSF yang dikaitkan dengan hartawan AS, George Soros.

NGO yang sedang disiasat setakat ini ialah BERSIH, Lawyers for Liberty dan Empower. Malah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau lebih dikenali sebagai Sosma - selama 10 hari.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu tuduhan berkaitan menggugat demokrasi berparlimen.

Azmin berkata sejak penahanan Maria Chin pada 18 November lalu kerajaan pimpinan Najib kini bersedia untuk "berperang" melawan aktivis dan organisasai hak asasi manusia.

"Kempen penindasan beliau dibuat berdasarkan teori konspirasi yang sengaja diada-adakan, kononnya aktivis Malaysia yang memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih, pemerkasaan wanita, kebebasan berucap dan hak asasi, telah menjalankan aktiviti menggugat demokrasi berparlimen mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya.

Isu 'derma' bagaimana?

ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata, penggunaan Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Sosma ke atas aktivis sivil dan NGO terbabit adlaah keterlaluan serta tidak relevan.

Katanya NGO terbabit bergerak untuk membantu golongan tertindas, lemah dan memerlukan menerusi peruntukan perlembagaan.

"Kumpulan ini melakukan tuntutan secara aman untuk mendapatkan pilihan raya adil dan bebas, serta kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan.

"Langsung tiada asas untuk (kerajaan) menggunakan undang-undang kasar dan menindas seperti Sosma dan 124C terhadap aktivis masyarakat sivil.

"Tuduhan (menggunakan) teori konspirasi tidak berasas oleh Najib dan Umno diteruskan lagi dengan dakwaan bahawa aktivis ini adalah boneka kuasa luar.

"Sekali lagi kita lihat George Soros digunakan sebagai kambing hitam untuk meyakinkan orang ramai supaya kekal bersama Umno demi keselamatan.

"Aktiviti kumpulan sivil ini kemudiannya dipaparkan sebagai jahat dengan alasan mereka menerima dana asing," katanya lagi.

Dalam keadaan begitu, Azmin bertanya sama ada persoalan itu hanya berbangkit jika dana berkenaan disalurkan kepada pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan.

"Bukankah ekonomi Malaysia terbuka untuk pelaburan asing?

"Adakah dana organisasi ini hanya dipersoalkan sekiranya mereka menegur pencabulan Umno dan BN terhadap hak asasi dan hak demokrasi rakyat Malaysia untuk menikmati demokrasi berparlimen melalui pilihan raya bebas dan adil?

"Kita juga boleh bertanya, mengapa deposit dana asing ke akaun persendirian perdana menteri tidak dianggap sebagai isu demokrasi berparlimen?

"Di mana kebertanggungjawapan perdana menteri sekiranya kuasa luar berupaya mempengaruhi institusi politik tertinggi negara secara langsung menerusi derma?" katanya.

Lihat Komen
ADS