Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baring bawah kereta untuk halang ditunda
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 6:21 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Seorang pemilik restoran nasi kandar ditahan kerana menghalang penguat kuasa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) menunda keretanya yang diparkir di tempat motosikal di Jalan Danby di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, empat penguat kuasa MPSP sedang menjalankan tugas mengunci tayar kenderaan yang diparkir di tempat tidak sepatutnya.

"Semasa operasi itu, penguat kuasa MPSP mendapati sebuah kereta jenis Mercedes Benz diletak pada petak motosikal dan penguat kuasa meniup wisel tiga kali sebagai amaran untuk ubah kereta itu namun tiada jawapan.

"Penguatkuasa MPSP itu bertindak mengunci tayar dan meninggalkan nombor telefon pada cermin kereta itu dan selepas sejam meronda mereka kembali ke situ untuk cari pemiliknya dan cuba bertanya dalam restoran nasi kandar berhampiran kereta tersebut diparkir," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata seorang wanita keluar dari restoran itu dan memaklumkan pemilik kereta itu tiada dan tiba-tiba seorang lelaki berusia lingkungan 50-an keluar dalam keadaan marah dan berkeras tidak mahu membayar kompaun untuk membuka kunci tayar tersebut.

Nik Ros Azhan berkata penguat kuasa MPSP itu memberitahu lelaki berkenaan jika tidak mahu membayar kompaun, pihak berkuasa tempatan itu akan mengambil tindakan dengan menunda kenderaannya ke stor MPSP.

Katanya ketika proses menunda pada jam 2.40 petang, lelaki itu bertindak berbaring bawah keretanya bagi menghalang pihak MPSP menjalankan tugas.

Penguatkuasa terbabit dengan dibantu polis bantuan MPSP yang berada di lokasi itu cuba memujuk lelaki itu untuk keluar daripada bawah keretanya tetapi gagal, katanya.

"Penguatkuasa dan polis bantuan MPSP terpaksa menarik lelaki itu keluar dari bawah kereta dan membawanya ke Balai Polis Bukit Mertajam sebelum kami menahannya untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya tiada pergaduhan atau sebarang kecederaan dilaporkan dan polis turut merekodkan keterangan dari beberapa saksi di lokasi kejadian.

Beliau berkata lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS