Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia kini sedang menuju pembangunan yang lestari.

Ia kerana katanya, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) mengiktiraf kepentingan memelihara sumber asli dan negara kini menunjukkan komitmen jangka panjangnya.

"Saya percaya bahawa kami telah mengambil langkah-langkah penting dan jalan yang benar untuk membangunkan kepakaran global.

“Ia perlu untuk menggerakkan Malaysia dan Asia ke hadapan dalam pembangunan lestari, untuk melindungi dan memelihara planet ini.

"RMK-11 ini turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan kehidupan rakyat, memberikan jati diri dan dan meningkatkan potensi semua untuk berkongsi faedah daripada kemakmuran negara kita.

“(Selain itu) untuk mewujudkan negara yang inklusif dan alam sekitar yang mapan dengan ekonomi maju menjelang tahun 2020,” kata Najib dalam ucapannya ketika merasmikan Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs di Universiti Sunway, Selangor.

Jelasnya, pihaknya turut menyedari kepentingan memelihara sumber semula jadi untuk generasi akan datang dari bencana alam, justeru RMK11 menekankan strategi pertumbuhan hijau.

"Ia melambangkan komitmen Malaysia terhadap alam sekitar yang sihat dan kemampuan jangka panjang," katanya.

Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs yang ditubuhkan turut menjalinkan kerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan menjadi hab serantau di Asia Tenggara untuk mendalami pengetahuan teknikal dalam bidang pembangunan yang lestari.

Lihat Komen
ADS