Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Kamal Hisham disoal siasat berkaitan afidavit sokongan
Diterbitkan:  Dec 10, 2016 10:11 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Dua pengamal undang-undang disoal siasat oleh polis berkaitan afidavit sokongan bekas peguam sultan Johor sebelum ini, Kamal Hisham Jaafar.

Shaharuddin Ali dan Khairul Azam Abdul Aziz yang merupakan peguambela Kamal Hisham berkata mereka disoal siasat kira-kira dua jam oleh pasukan jenayah terkelas Bukit Aman di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam.

Mereka kemudiannya membuat laporan polis di balai polis Travers di ibu negara, termasuk bagi tujuan prosiding menghina mahkamah yang akan diusahakan.

Dalam laporan polis itu, mereka mendakwa siasatan ke atas afidavit sokongan oleh Kamal Hisham adalah satu penghinaan mahkamah kerana kes Kamal Hisham masih aktif dan berjalan.

Ditanya Malaysiakini, Shaharuddin dan Khairul Azam enggan mendedahkan kandungan afidavit itu dengan alasan ia hanya disediakan untuk kegunaan mahkamah.

Kenyataan anak guam mereka setakat ini masih belum dirakam pihak berkuasa.

Kamal Hisham sedang berdepan beberapa pendakwaan pecah amanah dan pertuduhan
bawah Akta Syarikat 1965 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Dia cuba memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur bagi memastikannya mendapat pendengaran yang adil.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 29 Disember depan untuk mendengar permohonan itu.

Lihat Komen
ADS