Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Jika ekonomi buruk, Najib akan batal ‘serang hendap’ pembangkang

Unjuran ekonomi global yang tidak menentu tahun depan menghalang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mencari tarikh bagi membubarkan parlimen bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Katanya, permintaan global yang lembab terutamanya dari rakan dagang terbesar iaitu China, terus suram menyebabkan ekonomi akan terus perlahan.

“Andainya ramalan buruk ekonomi ini menjadi realiti seawal tahun depan, Najib akan membatalkan cita-citanya untuk ‘menyerang hendap’ pembangkang.

“Maka cita-cita Najib untuk membubarkan parlimen dalam suku pertama iaitu sebelum Mei 2017 hanya menjadi omongan kosong beliau sahaja.

“Melambatkan pilihan raya pula mempunyai risiko tersendiri yang tidak kurang mengancam survivalnya,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan perasmiannya konvensyen AMANAH di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Mohamad berkata Najib telah memberi suntikan ‘rasa sedap’ kepada pengundi dengan menghidangkan ‘muruku’ dalam bajet 2017 hanya sebagai mengalas perut.

“Tetapi bila kos sara hidup menggigit akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penarikan pelbagai subsidi, mereka akan teringat pepatah orang tua 'untung secupak rugi segantang'.

“Muruku atau gula-gula ini akan segera dilupakan rakyat apabila situasi bertambah berat…,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan rakyat mengenai insiden bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang akibat kos sara hidup yang tinggi supaya tidak berulang kembali.

“Kita tidak mahu insiden 26 Oktober di Jambatan Pulau Pinang, kes bunuh diri berulang kembali akibat tekanan kos kehidupan dan sekiranya ada yang merancang untuk melakukan sedemikian jangan berputus asa.

“Bersama kami (AMANAH) untuk melakukan perubahan dan tumbangkan kerajaan yang bolot, boros dan rakus ini,” katanya

Lihat Komen
ADS