Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asrama lelaki Maahad Al-Fatoni di Pendang terbakar
Diterbitkan:  Dec 10, 2016 6:30 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Kira-kira 20 pelajar lelaki di Maahad Al-Fatoni, Bukit Kobah di Pendang tinggal sehelai sepinggang selepas sebuah bilik asrama yang terletak di tingkat atas pusat pengajian itu terbakar malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan 1, Ramlan Mohd Ariff, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.35 malam melibatkan asrama di tingkat dua bangunan terbabit.

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dan seorang pegawai telah ke lokasi sambil dibantu 14 anggota bomba dari Balai Bomba Sukarela Tanah Merah, Bomba Sukarela Seberang Nyonya dan Simpang Empat Rangkaian.

"Setiba di lokasi kejadian mendapati, api telah pun berjaya di padamkan oleh pasukan Bomba Sukarela Tanah Merah yang terlebih dahulu bergegas ke lokasi," katanya di Pendang hari ini.

Menurut Ramlan,siasatan awal mendapati 90 peratus bilik asrama berkeluasan 12.2 meter lebar dan 18.3 meter panjang musnah dijilat api dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Ketika kejadian pelajar-pelajar baru selesai menunaikan solat Isyak di tingkat bawah secara berjemaah dan menyedari ada kepulan asap di tingkat atas sebelum menghubungi pihak bomba," katanya.

Sementara itu, pengetua asrama maahad berkenaan, Ashiq Elahi Mat Desa, berkata, bangunan yang terbakar adalah bangunan baru dibina dan diduduki sejak setahun lalu.

Ianya hanya disedari oleh beberapa orang pelajar yang ternampak kepulan asap dari tingkat atas selepas selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di tingkat bawah.

Seorang saksi kejadian, Ahjmad Husaini Mohd Fizhul, 17, berkata, ekoran kejadian itu, beliau hanya sempat menyelamatkan dompet dan beberapa helai baju jubahnya manakala barangan lain hangus terbakar.

Dalam keadaan kelam kabut itu beberapa pelajar lain cuba memadamkan api menggunakan air paip, namun tidak berjaya disebabkan api marak terlalu cepat.

Berikutan itu, kesemua pelajar terbabit di tempatkan di bangunan sekolah bersebelahan buat sementara waktu.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS