Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR mahu UM 'lepaskan' mahasiswa #Malaya4
Diterbitkan:  Dec 12, 2016 11:45 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mahu Universiti Malaya (UM) dengan serta merta menarik balik tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mahasiswa #Malaya4.

Mahasiswa #Malaya4 merujuk kepada Anis Syafiqah Mohd Yusof, Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar yang didapati bersalah melanggar peraturan universiti tersebut.

Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai berkata, penarikan itu perlu kerana ketiadaan panel bebas dalam prosiding yang melibatkan mahasiswa dengan kesemuanya dilihat menjadi 'pak turut' Umno dan BN.

"Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, jelas kelihatan mahasiswa daripada pelbagai kampus secara jelas berpartisipasi dalam parti politik.

"Adakah mereka tidak dikenakan tindakan kerana menghadiahkan puji-pujian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ini bukti pendakwaan terpilih kerana keempat-empat mahasiswa itu berhak untuk menggalas hak kebebasan bersuara sebagai rakyat.

"Tuntas, kelaziman pihak pentadbiran universiti yang berterusan menghakis kebebasan akademik harus dihentikan serta merta," jelas beliau dalam kenyataannya.

Beberapa hari yang lalu, Lembaga Disiplin UM memutuskan Anis Syafiqah dan tiga lagi aktivis mahasiswa bersalah susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan “Tangkap MO1” di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, hukuman sama ada pelajar fakulti bahasa itu akan didenda atau digantung pengajian, hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

Mereka juga mungkin tidak dapat menjawab peperiksaan pada tiga minggu lalu jika keputusan tidak memihak padanya.

Beliau dan tiga lagi pelajar dituduh melanggar kod kelakuan pelajar dengan menganjurkan perhimpunan berkenaan, menyebabkan gangguan awam serta mencemarkan nama baik universiti.

Perhimpunan "Tangkap MO1" dianjurkan bagi mendesak penahanan "Malaysian Official 1" yang dinamakan berkali-kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, tindakan itu secara jelas memperlihatkan demokrasi di Malaysia kian terhakis melalui rentetan peristiwa mahasiswa, aktivis politik, kartunis dan ahli Parlimen disiasat, ditangkap dan didakwa kerana cuba bersuara mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

"Saya sesungguhnya mengkritik pertuduhan yang melabel mereka sebagai individu yang memalukan nama universiti disebabkan himpunan tersebut.

"Justifikasi bagaimana sekumpulan mahasiswa yang berani menganjurkan himpunan menuntut agar pihak berkuasa mengheret Malaysia Official No.1 dihadapkan ke muka pengadilan memalukan negara.

"Sebaliknya, negara dimalukan apabila dana serta aset negara dirompak dan diguna pakai membayar kos hidup serba mewah termasuk wang kalah judi Riza Aziz dan Jho Low, seperti dakwaan Jabatan Kehakiman US," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS