Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Jangan heret k'jaan Selangor dalam sengketa sesama parti'
Diterbitkan:  Dec 12, 2016 5:08 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Pemuda PKR Selangor hari ini menggesa AMANAH tidak mengheret kerajaan negeri dalam sengketa melibatkan parti itu dan PAS.

Ini berikutan gesaan perwakilan AMANAH Selangor Jamzuri Ardani supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuang unsur "duri dalam daging" dalam kerajaan negeri itu.

Jamzuri pada konvensyen AMANAH semalam berkata, anggota PAS yang dilantik sebagai ketua kampung, ahli-ahli majlis tempatan dan ADUN menyekat program AMANAH di Selangor, termasuk tidak membenarkan penggunaan surau dan dewan.

"Justeru itu saya ingatkan kepada semua rakan komponen jangan sesekali mengheret kerajaan negeri terhadap sengketa sesama parti kerana ia akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri," kata Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Shah Syed Osman.

Beliau menambah, ucapan Jamzuri juga seolah-olah menunjukkan kerajaan Selangor gagal meraikan AMANAH sebagai parti komponen dan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Katanya, selepas pembentukan Pakatan Harapan, seramai lapan wakil daripada AMANAH dilantik oleh kerajaan Selangor sebagai ahli majlis daripada jumlah keseluruhan 34 wakil.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Selangor telah membuka ruang kepada pendatang baru dunia politik seperti AMANAH untuk bergerak aktif di Selangor sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Harapan," katanya.

Minta kerusi Batu dangkal

Sementara itu, Syed Shah turut menyifatkan gesaan Ketua Pemuda AMANAH Sany Hamzan supaya kerusi parlimen Batu diserahkan kepada parti itu sebagai 'dangkal' dan boleh meretakkan hubungan dalam Pakatan Harapan.

"Umum mengetahui bahawa kerusi tersebut disandang oleh YB Tian Chua, naib presiden daripada PKR dan kerusi ini dimenangi PKR sejak 2008 dengan majoriti yang baik.

"Sindiran tersebut tidak seharusnya datang daripada seorang ketua pemuda sebuah sayap parti yang memeterai persefahaman di bawah panji Pakatan Harapan.

Katanya, sebagai parti komponen, Pemuda AMANAH seharusnya lebih peka mengenai keutamaan terhadap kerusi yang disandang parti rakan.

"Saya memahami keperluan AMANAH dalam strategi untuk memperolehi kerusi-kerusi tertentu pada PRU14.

"Namun keperluan itu tidak menghalalkan cara untuk menyindir dan mengkritik secara terbuka terlebih lagi kerusi yang disandang oleh pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat yang merupakan parti komponen dalam Pakatan Harapan," katanya.

Lihat Komen
ADS