Paling Popular
Terkini

Masih ramai tidak sedar bahawa ancaman serangan pengganas di Malaysia adalah sesuatu yang nyata dan benar.

Ini kerana pada umumnya keamanan dan keselamatan sentiasa terjamin di dalam negara, membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan seharian mereka tanpa rasa takut.

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan hakikat itu apabila serangan pertama didalangi kumpulan pengganas Daesh berlaku di bumi Malaysia pada 28 Jun apabila sebutir bom tangan dilontar ke sebuah pusat hiburan di Puchong, mengakibatkan lapan individu cedera.

Namun, rakyat Malaysia kurang tahu akan tindakan awal dilakukan pihak polis dalam menangani perkara itu yang berjaya mengekang sekurang-kurangnya 14 serangan keganasan yang dirancang di Malaysia oleh militan Daesh, menurut seorang pegawai kanan pencegahan keganasan.

Kalangan pegawai keselamatan keberatan untuk berkongsi butiran cubaan serangan itu susulan sensitiviti maklumat berkaitan perkara itu.

Tetapi, apakah kaedah digunakan pihak berkuasa dalam mengekang cubaan serangan keganasan itu?

Satu daripada caranya adalah mengekang mereka daripada memperoleh senjata atau bahan letupan dengan menyekat penyaluran dana kepada kumpulan-kumpulan yang mempunyai niat jahat itu.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata sekatan dana dapat menghalang kumpulan ini daripada mempunyai kemampuan memperolehi senjata api atau bahan letupan bagi melakukan serangan.

"Kita memang mengawasi dan menyekat sekiranya ada individu cuba menyalurkan dana kepada kumpulan ini, langkah lain kita (PDRM) tidak boleh dedahkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pertukaran risikan turut memainkan peranan penting dalam langkah memerangi keganasan dalam usaha melindungi Malaysia daripada serangan mengerikan seperti yang dilihat berlaku di ibu negara beberapa negara di dunia seperti Paris,
Brussels dan Istanbul pada 2016.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa dengan berkongsi maklumat bagi membendung ancaman kumpulan militan itu yang aktif menyebarkan pengaruh mereka melalui media sosial.

"Kami sentiasa pantau masalah ini dan akan terus berbuat demikian... PDRM sentiasa siap siaga hadapi apa juga masalah yang berlaku," kata Fuzi.

Menurut statistik polis, sebanyak 260 orang terdiri daripada warga tempatan dan asing telah ditahan di negara ini sejak 2013 hingga sekarang kerana penglibatan dalam kumpulan militan.

Keseriusan kerajaan dalam memerangi ancaman itu dapat dilihat dengan pelancaran Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) sebagai pasukan pertama yang akan bertindak sekiranya berhadapan ancaman keganasan.

NSOF dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober lepas, dianggotai 17 pegawai dan 170 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bagi berkongsi inisiatif negara dalam memerangi keganasan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan lainnya, Kuala Lumpur telah mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) untuk mengekang penyebaran ideologi dan propaganda militan di Internet.

Malaysia juga bersedia berkongsi dengan dunia program deradikalisasi dilaksanakannya bagi pesalah terlibat dalam gerakan ekstremis, radikal dan Daesh yang telah mencapai kadar rehabilitasi yang tinggi iaitu 97 peratus.

- Bernama

Lihat Komen
ADS