Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul sahkan HARAPAN umum calon PM tak lama lagi
Diterbitkan:  Dec 17, 2016 6:20 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan bahawa Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan masa depan gabungan itu, termasuk memilih calon yang berpotensi untuk jawatan perdana menteri.

Semalam akhbar Sinar Harian memetik kenyataan Nurul yang mengatakan kepimpinan HARAPAN dijangka mengumumkan calon perdana menteri selepas perbincangan itu.

"Saya nyatakan perdana menteri perlu komited kepada agenda pembaharuan - agenda yang harus menjadi tumpuan.

"Ketepikan sindiran, kita berpegang kepada keputusan bersama kami dan anda tahu nama personaliti yang dipenjarakan," katanya kepada Malaysiakini.

Mahkamah Persekutuan Rabu lalu menolak permohonan semakan Anwar terhadap sabitan dan hukuman Liwat II.

Oleh itu, Anwar dijangka kekal dipenjara sehingga pertengahan 2018.

Sementara itu, mengulas keputusan mahkamah tertinggi itu, veteran DAP Lim Kit Siang juga mengesahkan keputusan HARAPAN agar Anwar dipilih sebagai perdana menteri masih tidak berubah.

Beliau bagaimanapun mengakui gabungan itu memerlukan perdana menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan dari penjara.

Anwar, katanya, bukan orang pertama dari penjara yang dipilih untuk jawatan politik tertinggi negara dalam perjuangan menuntut kebebasan dan keadilan.

"Seperti (Presiden Parti Amanah Negara) Mohamad Sabu sebut tadi, (pemimpin pembangkang) Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi calon terbaik sebagai perdana menteri sementara," kata Lim ketika berucap pada majlis makan malam yang diadakan di Bukit Gelugor malam tadi.

Lim juga berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah calon terbaik bagi jawatan timbalan perdana menteri sementara.

Tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini mendapati bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pilihan utama orang Melayu sebagai tokoh pembangkang untuk memimpin negara ini

Seramai 29 peratus memilih Mahathir, diikuti Anwar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang masing-masing mendapat mata 25 peratus.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat 13 peratus sokongan.

Lihat Komen
ADS