Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM dicabar bersumpah tak kenal Jho Low
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 8:58 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil mencabar Datuk Seri Najib Razak supaya bersumpah untuk menafikan beliau sekiranya tidak mengenali hartawan kontroversi, Jho Low.

Kata Faiz langkah berkenaan sekurang-kurangnya mengambil pendekatan sama ketika perdana menteri cuba meyakinkan orang ramai bahawa beliau tidak mengenai wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Faiz berkata demikian sebagai mengulas sabitan mahkamah Singapura terhadap bekas pengawai Bank BSI Singapura, Yeo Jiawei, atas tuduhan mengganggu saksi siasatan jenayah penggubahan wang haram didakwa ada kaitan dengan 1MDB.

Katanya keputusan mahkamah itu juga mencalar maruah negara.

"Yeo didakwa sebagai pegawai bank yang menguruskan akaun Jho Low dan didedahkan juga dalam keterangan di mahkamah bahawa mereka berdua adalah kenalan rapat.

"Ironinya, tiada apa-apa pula pendakwaan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di negara ini walaupun sudah tiga orang pegawai Bank BSI didakwa dan didapati bersalah berkaitan skandal ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Singapura adalah antara negara yang menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku kewangan dan penggubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Mengapa begitu istimewa

Jho Low - seorang hartawan muda kelahiran Pulau Pinang, dengan nama sebenarnya Low Taek Jho - adalah individu yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.

Najib adalah antara individu yang turut terpalit dengan tuduhan salah guna kuasa membabitkan 1MDB namun beliau sudah disahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai tidak bersalah.

Faiz berkata kesalahan Yeo itu amat berat kerana melibatkan gangguan terhadap saksi dan ia menunjukkan wujud unsur jenayah oleh Jho Low.

Katanya, Jho Low juga rakan karib anak tiri Najib, iaitu Riza Aziz, yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman AS baru-baru ini.

"(Riza juga) menerbitkan filem The Wolf Of Wall Street, membayar hutang judi dan banyak lagi perbelanjaan mewah yang mencecah lebih RM14 bilion.

"Jadi di dalam kes ini, Jho Low yang merupakan penjenayah prinsipal (manakala Yeo hanya bertindak sebagai rakan subahat) masih bebas tanpa pendakwaan dan siasatan.

"Atas dasar apa keistimewaan ini diberikan (kepada Jho Low)?

"Di manakah kemampuan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara menjalankan kewajipan awam membanteras jenayah berskala mega ini ketika rakan subahat Jho Low telah dihukum?" katanya.

Sehubungan itu, anak bekas presiden PAS itu berkata, jika institusi undang-undang negara ini tidak mampu bertindak sekurang-kurangnya Najib perlu bersumpah.

"Ia seperti sumpah Najib dalam kes pembunuhan Atlantuya," katanya.

Lihat Komen
ADS