Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masa depan TPPA terus samar, mungkinkah diganti RCEP?
Diterbitkan:  Dec 23, 2016 4:54 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Malaysia melalui tahun 2016 dengan pelbagai perkembangan mengujakan berkaitan perjanjian perdagangan antarabangsa, terutamanya perjanjian yang dianggap paling komprehensif dalam sejarah, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Namun hala tuju perjanjian itu masih menjadi tanda tanya.

Selepas lima tahun dan 19 pusingan proses rundingan yang merumitkan, kedudukan TPPA kini tidak menentu berikutan janji Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump untuk menarik keluar negara itu daripada TPPA pada hari pertama beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada 20 Jan ini.

Inisiatif perdagangan itu kini terhenti seketika, menunggu sejauh mana Presiden yang baru itu mengotakan janji kempen pilihan rayanya.

TPPA yang dikatakan sebagai pakatan perdagangan terbesar, paling menyeluruh dalam sejarah dan dianggap sebagai perjanjian perdagangan utama, menetapkan standard yang tinggi dalam perjanjian pelbagai hala.

Pakatan yang melibatkan 12 negara - Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat - menyuasai 40 peratus daripada ekonomi global, dengan jumlah penduduk hampir 820 juta orang.

Bagaimanapun, pakatan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa pada 2018 jika diluluskan oleh enam negara untuk sekurang-kurangnya 85 peratus daripada output ekonomi kumpulan itu, yang bermakna pengesahan oleh Amerika Syarikat dan Jepun diperlukan kerana keadaan saiz ekonomi kedua-duanya.

Amerika Syarikat sahaja menyumbang hampir 60 peratus dan ketiadaannya pasti akan menjejaskan pakatan tersebut.

Setakat ini, hanya Jepun telah mengesahkan perjanjian itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia menunggu keputusan pentadbiran AS apabila presiden baharu itu mengambil alih jawatan dan tindakan seterusnya hanya akan diambil apabila terdapat pengesahan rasmi bahawa AS tidak akan menyertai TPPA.

Mengimbas kembali apa yang dilalui Malaysia bukanlah suatu yang mudah untuk akhirnya bersetuju menandatangani TPPA pada 4 Feb 2016 di Auckland, New Zealand.

Berdepan pelbagai kritikan, bantahan dan pra sangka berhubung perjanjian perdagangan itu, Mustapa dan pasukannya menghabiskan masa dan sumber yang banyak, semasa rundingan sebelum akhirnya memperoleh tawaran yang baik dan adil, tanpa menjejaskan agenda Bumiputera.

Malaysia juga merupakan satu-satunya negara dalam kalangan 12 negara yang terlibat, mengemukakan teks TPPA kepada Parlimen untuk kelulusan sebelum ditandatangani.

TPPA telah dibentangkan di Parlimen Malaysia pada 26 Jan.

Sudah tentu, bahagian yang paling sukar bukan sahaja untuk mengadakan rundingan perdagangan, tetapi memuktamadkannya jauh lebih rumit.

Negara anggota lain bagaimanapun boleh meneroka pilihan lain sama ada untuk meneruskan TPPA tanpa Amerika, antaranya, dengan meminda perjanjian dan menambah anggota baru tetapi ini bermakna satu lagi pusingan rundingan menyukarkan perlu ditempuhi.

Kebanyakan pakar ekonomi juga berpendapat TPPA tidak akan lenyap sepenuhnya dan masih ada kemungkinan perjanjian perdagangan lain yang sama akan diperkenalkan.

Memandangkan nasib TPPA masih samar-samar, satu lagi perjanjian perdagangan bebas mega pelbagai hala, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), semakin mendapat momentum dan mula pendapat perhatian.

RCEP, diilhamkan empat tahun lalu, menjadi semakin penting untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan TPPA.

Semasa pusingan rundingan terkini di Indonesia pada Oktober lepas, anggota RCEP mengharapkan rundingan akan selesai pada akhir tahun 2017, dengan rundingan berikutanya bakal berlangsung di Jepun Februari ini.

RCEP melibatkan semua 10 anggota ASEAN bersama-sama dengan China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Tujuh daripada negara-negara ini juga dalam TPPA tetapi kemudian kedua-dua pakatan tidak dilihat sebagai inisiatif yang bersaing.

Sebaliknya, saling melengkapi antara satu sama lain.

Seperti TPPA, potensi pasaran RCEP adalah sangat besar, dengan gabungan penduduk lebih 3.0 bilion, KDNK terkumpul hampir RM100 trilion dan menyumbang 40 peratus kepada perdagangan global.

Pada masa ini, perdagangan Malaysia dengan negara-negara RCEP menyumbang lebih 50 peratus daripada perdagangan antarabangsa secara keseluruhan.

Perjanjian perdagangan bertumpukan ASEAN juga boleh dilihat sebagai lanjutan daripada wawasan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang menyasarkan untuk mengubah rantau ini kepada satu pangkalan pasaran, bersepadu dengan ekonomi global.

Anggota Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Datuk Ahli Ramesh Kodammal dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini berkata AEC wujud tepat pada masanya, terutamanya ketika spekulasi mengenai perjanjian TPP yang turut melibatkan negara-negara anggota ASEAN, masih tidak menentu.

Bagaimanapun, tegasnya, di sebalik kesuraman senario ekonomi, AEC masih berpotensi meraih kejayaan dengan syarat beberapa cabaran di rantau ini dapat ditangani.

Ini termasuk pelaksanaan lebih banyak usaha promosi dan program kesedaran berikutan pendirian kebanyakan kerajaan memilih memperkenalkan dasar bersifat perlindungan ketika berdepan saat-saat sukar, katanya.

Sementara itu, untuk tahun depan, Malaysia akan memberi tumpuan kepada ASEAN memandangkan perkumpulan akan meraikan 50 tahun penubuhannya.

Semasa lawatannya ke Hanoi pada awal bulan ini, Mustapa berkata, ASEAN telah mencatat kemajuan dalam mengurangkan halangan bukan tarif setelah ancaman kepada perdagangan global meningkat.

Perdagangan intra-ASEAN juga boleh meningkat kepada 35 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang daripada peratus 24 peratus sekarang ini meskipun pemulihan ekonomi global yang berlanjutan.

Jadi, apa agenda perdagangan Malaysia seterusnya?

TPPA atau tanpa TPPA, Malaysia perlu berkembang dan mempelbagaikan perdagangannya dengan dunia dan memandangkan senario semasa, Mustapa berkata, Malaysia akan meneroka lebih banyak peluang perdagangan dua hala.

Dalam perdagangan dua hala, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan tujuh negara dan turut meninjau FTA dengan Kanada, Peru dan Mexico, manakala rundingan dengan Iran dan Sri Lanka bakal bermula tahun depan.

Di peringkat serantau, Malaysia dan rakan-rakan ASEAN telah menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dengan ASEAN telah juga memuktamadkan FTA dengan enam rakan dialog, iaitu China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.

Selain itu, rundingan bagi FTA Kesatuan Eropah-Malaysia disambung semula.

Mustapa berkata sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia akan terus berusaha untuk perjanjian perdagangan yang adil dan akan memberi manfaat kepada negara dari segi perdagangan, pelaburan, pendapatan dan pekerjaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS