Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Mahathir cuba alih isu kemelut BERSATU
Diterbitkan:  Dec 27, 2016 12:25 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sedang meroyan dengan membangkitkan pelbagai isu termasuk mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai haram dan rasuah untuk menutup kemelut kepemimpinan dalam partinya.

Menurutnya, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu sengaja mengalih isu dalaman partinya setelah setelah kecewa kerana gagal menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Untuk mengalih isu dalaman PPBM beliau mengeluarkan 'fatwa' mengenai BR1M dan yang menjadi persoalan sejak bila beliau menjadi ahli majlis fatwa?

"Kerajaan tidak perlu melayan kerenah beliau yang suka meroyan termasuk sengaja membangkitkan cerita sensasi seperti BR1M itu haram dan rasuah semata-mata mengalihkan isu serta untuk mendapat perhatian dan publisiti murahan," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini.

Ahad lalu, Dr Mahathir, dilapor mendakwa BR1M adalah satu bentuk rasuah, dan dengan itu, pemberiannya adalah salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.

Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mempertahankan kenyataan itu dengan berkata, jika pemimpin BN, tiada niat mempengaruhi dan merasuah, mengapa pemberian BR1M mesti melalui Umno.

Buktinya, katanya, ialah semasa ucapan penggulungan perhimpunan Umno baru-baru ini, presiden parti itu membuat pengumuman pemberian BR1M fasa 3 dan akhir diberikan melalui Umno bahagian.

Menunggu masa terkubur

Mengulas lanjut, veteran Umno itu berkata, bekas perdana menteri sengaja berbuat demikian bertujuan mahu mendapat reaksi daripada pihak kerajaan dan Umno dan apabila kenyataannya mendapat maklum balas, ia adalah satu kemenangan kepadanya.

Katanya, sebelum ini, Dr Mahathir menuduh kerajaan menggadai negara ini kepada China dan berhutang dengan negara itu apabila Najib berjaya mendapat pelaburan bernilai RM143 bilion.

"Sehubungan itu, Veteran Umno berharap kerajaan dan kepemimpinan Umno jangan membuang masa melayan kerenah kebudak-budakan dan ketidakmatangan Dr Mahathir. Teruskan program yang dirancang untuk kepentingan rakyat dan negara.

"Biarkanlah dia terus meroyan dan merapu bagi memenuhi sisa-sisa kehidupannya. Veteran Umno yakin rakyat sudah bosan dengan kerenah beliau yang tidak habis-habis menyerang dan memburukkan kerajaan dan kepemimpinan Umno," katanya.

Mustapha berkata, paling menyakitkan hati Dr Mahathir adalah apabila BERSATU yang baru ditubuhkannya dilanda kemelut kepemimpinan yang menunggu masa terkubur.

Pada 25 Disember lalu, salah seorang pengasas BERSATU, Anina Saadudin, berkata beliau dilucutkan jawatan sebagai ketua Srikandi parti itu.

Kekeliruan mengenai jawatan Anina sebagai ketua Srikandi berlaku seminggu selepas beberapa blog mendakwa beliau terbabit dalam skandal seks.

Anina dilaporkan menolak dakwaan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

Susulan itu, bekas ahli BERSATU, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu presiden parti serpihan Umno itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'membersihkan' namanya kerana turut terpalit dengan dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan wanita berkahwin.

 

Lihat Komen
ADS