Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
BR1M hanya 14% daripada kutipan GST, kata DAP
Diterbitkan:  Dec 27, 2016 12:35 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Di sebalik dakwaan kerajaan bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu meringankan beban hidup rakyat angkara pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hakikatnya, ia sekadar kaedah Umno dan BN bagi mengaburi mata rakyat.

Ini kerana, menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, pulangan GST hanya sekitar 14 peratus yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah melalui BR1M pada tahun ini.

"Hasil kutipan GST bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM27.01 bilion, manakala anggaran kutipan GST bagi tahun 2016 berjumlah RM38.5 bilion.

"Sebaliknya, pemberian BR1M hanya melibatkan peruntukan sebanyak RM5.4 bilion bagi kedua-dua tahun tersebut.

“Oleh itu, dianggarkan hanya lebih kurang 14 peratus daripada GST dipulangkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui BR1M pada tahun ini.

“Selebihnya iaitu 86 peratus daripada kutipan GST menjadi pendapatan tambahan kepada kerajaan. Saya melihat ini sebagai satu penindasan terhadap golongan miskin dengan penuh licik sekali,” ujarnya, memetik laporan Roketkini.

Isu BR1M kembali menjadi hangat semenjak beberapa hari yang lalu apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.

“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya.

Mengulas lanjut, Sivakumar yang merupakan ahli Parlimen Batu Gajah berkata, dengan peruntukan bantuan sekecil itu dibandingkan dengan kutipan GST, pihaknya berpandangan BR1M tidak membantu meringankan beban kewangan rakyat.

“BR1M tidak dapat mengatasi peningkatan beban hidup disebabkan GST.

“Sebilangan besar rakyat berpendapatan rendah kurang menyedari bahawa jumlah kutipan cukai GST adalah jauh lebih besar berbanding pemberian BR1M," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS