Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli membatalkan hasratnya untuk membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu Felda yang kini mengalami kerugian.

Katanya, sekiranya beliau berbuat demikian, pihak berkuasa akan menutup kes tersebut atas alasan ia bersifat politik.

“Pada mulanya nak seret Najib juga. Tapi kalau saya ingat, kalau letak Najib, itu akan dijadikan alasan hanya masuk shredder (mesin pengisar kertas) terus kan.

“Kita nak pastikan tak ada loop hole kalau pihak polis kata bersifat politik. Jadi kita fokuskan pada pengarah dan ia sudah tentu (Tan Sri) Isa Samad, Ahli Jabatan Pengarah dan bekas pengurusan Felda.

“Kita akan berurusan dengan Najib melalui politik dan perkara berlainan. Saya tak nak letakkan Najib di sini kerana jalan yang mudah untuk (tutup kes) hanya macam tu,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Rafizi hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Jabatan Pengarah dan bekas pengurusan Felda dari tahun 2013 hingga sekarang ekoran kerugian Felda antara tahun 2012-14.

“Saya percaya ada asas untuk menyiasat keputusan dan ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan Felda sepanjang tempoh 2013 dan 2014 yang telah menyebabkan prestasi buruk sedemikian rupa.

“Ia untuk memastikan mereka tidak menyalah urus tadbir dana Felda dan (memastikan mereka) menjalankan tugas seperti kehendak Akta-akta yang termaktub dalam Akta Syarikat,” katanya.

Jelasnya, Laporan Tahunan Felda 2014 menunjukkan Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.023 bilion.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu turut telah membelanjakan sebanyak RM2.535 bilion bagi menjalankan aktiviti tanam semula bagi pihak peneroka manakala baki jumlah hutang Felda RM6.13 bilion.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara bagi siri 2 tahun 2015 menyatakan audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini, mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh Felda dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif ditetapkan.

Antaranya, termasuk 65 kontrak bagi pemerolehan perkhidmatan LiDAR atau Light Detection and Ranging bernilai RM148.42 juta dan projek jalur lebar melibatkan kos RM566 juta.

Laporan itu turut membidas Felda kerana tidak membuat kajian kemungkinan dan daya maju sebelum projek ternakan ikan sturgeon, restoran Savaro dan projek pastri Schneeballen diteruskan sehingga menyebabkan agensi itu mengalami kerugian RM73.63 juta.

Lihat Komen
ADS