Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA saran solat hajat laknati perasuah
Diterbitkan:  Dec 30, 2016 3:49 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali menyeru umat Islam di negara mengerjakan solat hajat pada malam tahun baru 2017 bagi memohon agar perasuah dilaknatkan.

Ia termasuk pemimpin yang menyalah gunakan kuasa bagi mendapatkan duit secara haram, jelasnya.

"InsyaAllah, mereka yang rasuah akan menerima hukuman yg setimpal dgn perbuatannya," kata beliau dalam kenyataan mengenai amanat tahun baru pertubuhan itu.

Baru-baru ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah melahirkan kebimbangan dengan gejala rasuah dan pecah amanah yang dilakukan secara terbuka oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.

Baginda bertitah, berdasarkan laporan media, perlakuan rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah pada skala yang sangat besar.

Titah Sultan Nazrin, sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah dan rasuah, penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.

"Dalam sejarah kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abas lupa kepada amanah Ilahi kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa.

"Apabila kuasa dianggap satu peluang memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah, maka rosaklah tataurusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun," titah baginda.

Mengenai azam 2017 pula, Ibrahim menambah, adalah menjadi harapan beliau dan PERKASA untuk melihat rakyat berganding tenaga dengan serius dan bangkit menentang gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi.

"Harapan saya pada negara dan PERKASA adalah rakyat hendaklah berganding tenaga dengan serius bangkit menentang gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi." katanya lagi.

Ini kerana, tambah beliau, ia seharusnya bermula dengan diri sendiri dan mengerakkan masyarakat agar membenci rasuah dan setiap rakyat disedarkan supaya menjauhi rasuah.

Jika para pemimpin dan pegawai kerajaan di semua peringkat (termasuk yang telah bersara) didapati hidup secara bermewah, katanya, ia perlu segera dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lihat Komen
ADS