Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jemaah Haji 1MDB tak perlu risau status ibadat'

Jemaah haji yang menunaikan ibadat haji melalui tajaan Program Khas Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak perlu risau dengan status ibadat mereka.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata jemaah haji perlu yakin setiap ibadat yang dilakukan itu diterima oleh Allah SWT dan bukannya ditentukan oleh seseorang.

"Mereka (jemaah haji) perlu letak harapan dan berdoa bahawa amalan seperti menunaikan solat, puasa, zakat dan haji ini diterima dan selepas itu mereka harus yakin Allah SWT menerima permintaan kita," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ibadat haji dilakukan jemaah menerusi tajaan yayasan itu tidak akan mendapat haji mabrur.

Bagi Imam Masjid Negara, Khisamudin Ismail pula, kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir itu hanyalah berunsur politik semata-mata dan tidak seharusnya dibimbangi jemaah haji yang terbabit.

"Bagi pandangan saya, kenyataan itu lebih berunsurkan politik dan jemaah haji yang ditaja itu menerima hadiah dan ia tidak mendatangkan masalah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ketua-ketua Kampung Daerah Pekan Abdul Kadir Bakar melahirkan kekecewaan berhubung kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri berkenaan.

"Saya dukacita mendengar kenyataan itu. Bagi saya, beliau tidak berhak menentukan bahawa haji seseorang yang ditaja di bawah yayasan itu mabrur atau tidak.

"Kenyataan itu juga hanya politik semata-mata tetapi membuatkan sesetengah jemaah haji yang terlibat marah, ini kerana kami bersyukur kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan program sebegitu," katanya.

Kata Abdul Kadir, beliau sendiri berpeluang menunaikan haji pada tahun pertama program itu dilancarkan iaitu pada 2011.

- Bernama

Lihat Komen
ADS