Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pembantu khas Ketua Menteri Pulau Pinang membuat laporan polis hari ini ekoran mesej yang tersebar kononnya gabungan pembangkang akan menutup Majlis Amanah Rakyat (MARA) jika berjaya membentuk kerajaan selepas ini.

Menurut Zaidi Ahmad, mesej berkenaan diterimanya melalui aplikasi WhatsApp di telefon bimbitnya kira-kira jam 6 pagi pada 1 Januari lalu.

Kata Zaidi, mengiringi mesej berkenaan ialah gambar Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP.

"Mesej berkenaan dihantar melalui kumpulan WhatsApp Bersatu Lwn Kezaliman yang dicipta seseorang yang hanya dikenali sebagai Mizan Johor," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town hari ini.

Kata Zaid, mesej berkenaan bertulis:
PAKATAN AKAN TUTUP MARA
"Kita akan tutup segala entiti berkait dengan MARA selagi ia tidak terbuka untuk semua kaum. Itu janji saya untuk kerajaan di bawah Pakatan”.

MARA adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 dengan matlamat membantu masyarakat Melayu dan bumiputera menceburi bidang perniagaan.

Ia dianggap sensitif bagi sesetengah orang Melayu kerana fungsinya itu.

DAP adalah sebahagian daripada parti pembangkang yang membentuk gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN), selain PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Zaidi berkata, pengirim mesej itu menggunakan dua nombor telefon.

Menurutnya mesej yang disebarkan pihak terbabit boleh dianggap sebagai fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia itu, Lim tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu penutupan MARA.

"Beliau juga tidak pernah mengarahkan sesiapa menghantar atau menyebarkan mesej sebegitu bagi pihaknya," kata Zaidi.

Disebabkan itu, katanya, polis digera menyiasat kes berkenaan dan menahan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan mesej palsu itu.

"Penyebaran maklumat palsu itu tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Lim juga dilaporkan menjadi mangsa penyebaran mesej palsu.

Melalui mesej berkenaan Lim didakwa menyokong pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar dan kononnya menegaskan Malaysia tidak berhak campur tangan dalam urusan dalaman negara terbabit.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS