Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan gantung tugas Ahok
Diterbitkan:  Jan 4, 2017 5:53 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Kerajaan akan menggantung tugas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, sesuai dengan statusnya sebagai tertuduh dalam kes menghina Islam.

Menurut Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tjahjo Kumolo, Basuki - atau lebih dikenali dengan nama Ahok - akan digantung tugas selepas selesai bercuti kerana berkempen ketika ini.

Katanya, sebaik saja cuti itu tamat Basuki tidak akan kembali bertugas sehingga kesnya selesai dibicarakan.

Menurut Tjahjo, penggantungan itu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang Indonesia.

Tempo melaporkan, kerajaan sudah menghantar surat kepada mahkamah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes berkenaan.

"Setelah salinan surat itu diterima, dalam tempo 30 hari, saya akan mengusulkan kepada presiden agar Ahok digantung tugas," katanya.

Basuki didakwa di Mahkamah Daerah Jakarta Utara atas tuduhan menghina Islam ekoran ucapannya di Kepulauan Seribu pada September tahun lalu.

Dalam ucapannya Basuki didakwa meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan ayat 51 surah al-Maidah yang melarang mereka memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin.

Kenyataan itu kemudian mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Jakarta.

Basuki sedang dalam cuti kerana berkempen untuk menghadapi pilihan raya gabenor Jakarta 15 Februari ini.

Jika mahkamah mendapati Basuki bersalah atas tuduhan menghina agama, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Basuki adalah tokoh politik keturunan Cina dan beragama Kristian. Dia menjadi gabenor pertama Jakarta yang bukan beragama Islam.

Sementara itu jurucakap Mahkamah Jakarta Utara, Hasoloan Sianturi, berkata pihaknya akan membalas segera surat Tjahjo mengenai Basuki.

Pegawai Kanan Kementerian Dalam Negeri, Sumarsono, pula menyatakan arahan menggantung tugas itu akan berlanjutan sehingga mahkamah membuat keputusan atas tuduhan yang dikenakan.

Sepanjang ketiadaan Basuki, tugas gabenor dijalankan timbalannya, Djarot Saiful Hidayat.

Basuki akan kembali bertugas sebagai gabenor jika mahkamah menetapkan keputusan dia tidak bersalah sebelum penggal perkhidmatannya tamat pada Oktober tahun ini.

Sementara itu Basuki ketika ditanya komennya mengenai arahan berkenaan, enggan memberi sebarang reaksi.

No comment. Tak usah berandai-andai kerana belum ada keputusan,” katanya.

Lihat Komen
ADS