Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Imej kerajaan buruk kerana kerajaan, kata Kadir
Diterbitkan:  Jan 5, 2017 2:15 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, berkata kerajaan sendiri perlu bertanggungjawab atas persepsi serta tanggapan buruk yang dibuat rakyat terhadap mereka.

Memetik beberapa insiden, Kadir berkata, tanggapan negatif itu tetap ada tanpa perluu bekas kakitangan kerajaan atau sesiapa saja membuat kenyataan.

"Kerajaan sendiri lebih daripada mencukupi meletakkan mereka pada tanggapan negatif," katanya melalui catatan terbaru di blognya hari ini.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press itu mengulas beberapa perkembangan terbaru membabitkan menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Antaranya berkaitan sebaran gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang didakwa dirakam dalam kasino di Las Vegas.

Turut dipetik dalam tulisan Kadir kali ini ialah rasa tidak puas hati bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Bahri Mohamad Zain, serta penahanan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian semalam.

Kadir yang kini menjadi pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut menegur tindakan Azalina memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam atau bekas kakitangan kerajaan yang mengeluarkan fitnah serta menyebabkan persepsi buruk pada kerajaan.

Sembang kedai kopi

Azalina yang juga ahli parlimen Penggerang berkata langkah tersebut perlu diambil bagi mengelakkan salah faham atau salah tafsir daripada sumber yang tidak disahkan.

Bagaimanapun, Azalina tidak menamakan atau merujuk kepada sesiapa.

Menurut Kadir, keadaan agak sukar untuk kerajaan ketika ini kerana kebanyakan apa yang disebut bekas penjawat awam adalah benar.

"Saya tidak begitu faham apa dimaksudkan menteri itu dengan tindakan tegas kerana kebanyakan kakitangan awam sudah dipecat, ditamatkan perkhidmatan dan dipindahkan bukan kerana memfitnah kerajaan tetapi bercakap benar dan melakukan tindakan yang betul," katanya.

Terbaru, kata Kadir, ialah tindakan bersara awal diambil Bahri kerana kecewa dan rasa berdosanya apabila gagal membawa syarikat SRC International Sdn Bhd ke mahkamah.

"Ia tentu mengganggu suara hati orang pegawai SPRM seperti Bahri serta mereka yang bersara kerana situasi sama apabila hanya ikan bilis dan gelama didakwa di mahkamah, manakala jerung paling besar terlepas," katanya.

Mengenai Azalina, Kadir membangkitkan persoalan sama ada amaran dibuatnya itu disebabkan gambar berkenaan tersebar di media sosial pada awal tahun ini.

"Adakah menerbitkan gambar ini dan membincangkannya di media sosial serta kedai kopi boleh dianggap perbuatan memfitnah?

"Tetapi mengapa sasarkan kemarahan kepada kakitangan kerajaan kecuali gambar itu dirakam dan diterbitkan di media sosial oleh seorang kakitangan kerajaan tanpa pengetahuannya?

"Sudah tentu jika gambar itu asli, ia tidak baik untuk Azalina," katanya.

Seorang Muslim, kata Kadir, yang menyertai sebuah parti yang melaungkan slogan "untuk agama, bangsa dan negara" tidak sepatutnya dilihat di tempat haram.

"Keadaan lebih tidak wajar, katanya, apabila parti itu sedang "bercinta" dengan Parti Islam Semalaysia dan peneroka Felda di kawasan Azalina menderita akibat kekangan pendapatan," katanya.

Lihat Komen
ADS