Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Beberapa NGO Islam hari ini mengumumkan mereka akan mengadakan majlis upacara ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.

Anggota Majlis Tertinggi Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (GAMIN) Mohd Iqbal Zain berkata ikrar itu akan diadakan ekoran kebimbangan pihaknya terhadap masyarakat kini yang kurang mendaulatkan institusi Raja-raja.

“Wujud kebimbangan dengan kurangnya kefahaman serta kesedaran untuk mendaulatkan institusi Raja-raja Melayu yang hakikatnya merupakan salah satu tiang seri bangsa yang sangat penting dan relevan.

“Maka kami berikrar untuk meneguhkan setia bakti kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dan seterusnya bersilih ganti dengan mengikut kehendak yang maha esa.

“(Serta) Sultan yang bersemayam di Istana Negara serta duli-duli Tuanku yang memerintah negeri-negeri di bawah Malaysia,” katanya dalam sidang media di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur.

Jelasnya, budaya yang tidak sihat hari ini kini telah menular dalam masyarakat Islam pada hari ini.

“Kita juga gusar dengan serangan budaya kuning dan asing ke atas umat Islam dan masyarakat Melayu khususnya dari media sosial. Budaya Melayu yang mencerminkan luhur budi budaya ketimuran semakin terhakis,” kesalnya.

Justeru Gamin akan mengadakan majlis taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong pada 4 Februari ini.

Mohd Iqbal turut mensasarkan kehadiran 10,000 anggota dari kumpulan NGO dan juga individu untuk sama-sama turun berikrar.

“Maka atas kesedaran ini Gamin merasa keperluan yang amat wajar untuk mengambil inisiatif mengadakan satu majlis yang dihadiri oleh NGO, madrasah dan institusi bagi menzahirkan niat dan memasakkan tiga tiang seri bangsa Melayu,” katanya.

Tiga tiang seri

Mohd Iqbal berkata, tiga tiang seri itu adalah mengikut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan menolak fahaman wahabi, Syiah, liberalisme, sekular dan Hisbut Tahrir.

Gamin juga menjunjung dan memelihara institusi Raja Melayu dan berikrar berperanan penting sebagai payung utama dalam hal berkaitan agama Islam mengikut undang-undang negara.

Selain itu pihaknya akan memasakkan kembali warisan identiti budaya Melayu dalam masyarakat.

Sementara itu Mohd Iqbal berkata pihaknya akan memaklumkan lokasi majlis ikrar tersebut sedikit masa lagi.

Malah beliau berkata, majlis tersebut mungkin akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong kerana surat jemputan telah pun dihantar kepada baginda.

Sidang media Gamin hari ini penuh warna warni apabila kelihatan penyokong kumpulan itu hadir dengan pakaian kesultanan Melayu berserta keris dan tengkolok.

Bagi wanita pula ada di antara mereka yang memakai songket dan kain selempang seperti busana Melayu lama.

Mereka turut membawa potret Yang di-Pertuan Agong dan diletakkan Meja utama sidang media.

Gabungan itu terdiri daripada 450 NGO antaranya Pertubuhan ASWAJA, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), PEMBELA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Lihat Komen
ADS