Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kontrak francais Chatime di M'sia ditamatkan
Diterbitkan:  Jan 6, 2017 12:52 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Syarikat francaisor minuman teh kesihatan berjenama Chatime, La Kaffa International Ltd yang berpangkalan di Taiwan akan menamatkan kontrak dengan pemegang tunggal francais tempatan.

Satu-satunya pemegang francais Chatime di peringkat tempatan ialah Loob Holdings Sdn. Bhd.

Pengerusi La Kaffa yang berpangkalan di Taiwan, Henry Wang berkata, penamatan kontrak itu adalah disebabkan Loob Holdings tidak bersetuju dalam hal melibatkan royalti dan penyumberan bahan.

"Produk makanan dan minuman boleh digantikan dengan mudah. Perniagaan perlu terus melakukan penciptaan semula dengan memperkenalkan jenama serta produk baru berdasarkan permintaan pasaran untuk menarik pelanggan," jelas Wang, memetik laporan The Edge Markets.

Malaysia merupakan pasaran luar negara terbesar Chatime dari segi pendapatan. Kedai-kedai Chatime di Malaysia telah menyumbang separuh daripada pendapatan Chatime dari pasaran antarabangsa.

La Kaffa memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2008. Menurut laman web Chatime, francais berkenaan ditubuhkan pada tahun 2005.

Buat masa ini, terdapat lebih daripada 800 cawangan Chatime di seluruh dunia termasuk China, Australia dan Amerika Syarikat, menurut laman web berkenaan.

Mengulas lanjut, Wang berkata, penamatan kontrak tersebut akan berkuat kuasa dengan serta merta dan pihaknya akan mengendalikan pengurusan semua kedai Chatime di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo dalam kenyataannya berkata, kesemua 165 cawangan Chatime di Malaysia akan beroperasi seperti biasa di bawah syarikatnya.

Loo berkata, syarikat itu akan memberikan maklum balas setelah mendapat nasihat undang-undang.

"Biar saya jelaskan walaupun francaisor memiliki jenama, semua cawangan Chatime di Malaysia dimiliki dan dikendalikan oleh Loob Holding, sama ada melalui pemilikan langsung, sub-francais atau usaha sama dengan sub-francais.

"Saya juga beri jaminan kepada pelanggan Malaysia bahawa semua cawangan kami terus menawarkan produk berkualiti dan perkhidmatan terbaik sejak syarikat dibangunkan enam tahun lalu," tambah beliau.

Buat masa ini, syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang mengenai penamatan tersebut dan akan memastikan semua pihak berkepentingan dimaklumkan sewajarnya, ujarnya.

Lihat Komen
ADS