Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘1MDB gagal beri gambaran penuh juruaudit baru’

1MDB gagal memberi gambaran penuh ketika mengumumkan pelantikan Parker Randall sebagai juruaudit baru, dakwa ahli parlimen DAP Tony Pua hari ini.

"Waa ... juruaudit baru akhirnya. Ada gaya nama Parker Randall," kata Pua dalam laman Facebook.

Tidak lama selepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mengumumkan pelantikan juruaudit baru itu, 1MDB juga mengeluarkan satu kenyataan ringkas.

Pua kemudian membidas 1MDB dengan berkata "Kenyataan akhbar lebih tepat sepatutnya berbunyi: 1MDB lantik Afrizan Tarmili Khairul Azhar atau Aftaas (http://aftaas.com) sebagai juruaudit baru".

"Aftaas adalah anggota Parker Randall International, sebuah persatuan antarabangsa firma audit dan perakaunan," katanya.

Ketika dihubungi, Pua berkata tidak salah bagi 1MDB dan Mohd Irwan untuk menamakan Parker Randall sebagai juruaudit baru.

Beliau berkata ramai juruaudit tempatan mempunyai gabungan dengan firma antarabangsa untuk menaikkan imej mereka.

Bagaimanapun, Pua berkata kedua-dua 1MDB dan Mohd Irwan tidak memberikan fakta-fakta lengkap dan cuba untuk mempengaruhi persepsi awam.

"Mereka sepatutnya berkata Aftaas yang dilantik (sebaliknya)," katanya.

Menurut pemimpin DAP itu, beliau sangsi sama ada Parker Randall mempunyai firma di negara ini, sama seperti PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Ernst & Young.

Lewat hari ini, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy menolak dakwaan Pua.

Katanya, Parker Randall sememangnya sebuah firma yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA), dengan nombor pendaftaran AF 002067.

"Pua perlu semak fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengelirukan," kata Arul Kanda kepada Malaysiakini.

Walau bagaimanapun, semakan dalam direktori keanggotaan MIA mendedahkan bahawa Parker Randall sememangnya berkongsi e-mel sama dan alamat ibu pejabat firma audit Afrizan Tarmili Khairul Azhar.

Afrizan Tarmili Khairul Azhar adalah sebuah firma dengan nombor pendaftaran AF 1300, seperti yang tercatat dalam laman web MIA.

Pada Oktober lalu, Arul Kanda, berkata juruaudit 1MDB sebelum ini, Deloitte, menarik diri selepas sebahagian dokumen penting yang diperlukan, berada dalam simpanan polis.

Sehubungan itu, 1MDB belum lagi mematuhi syarat ditetapkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mewajibkan laporan juruaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 diserahkan kepada mereka.

Bagaimanapun SSM memberi lanjutan tempoh kepada 1MDB sehingga Mac tahun ini.

Sejak penubuhannya pada 2009, 1MDB sering bertukar-tukar juruaudit, bermula dengan firma Ernst and Young sebelum diganti oleh KPMG.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS