Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU14: Umno mungkin 'guna' AMANAH di K'tan, kata PAS
Diterbitkan:  Jan 8, 2017 10:18 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, peristiwa tahun 1978 mungkin berulang di Kelantan apabila parti serpihan bekerjasama dengan Umno bagi menumbangkan kerajaan PAS.

Ujar beliau, kemunculan Parti Amanah Negara (AMANAH) terutamanya di kawasan marginal PAS sedikit sebanyak boleh menjejaskan usaha bagi mempertahankan kerusi tersebut.

"AMANAH mungkin bekerjasama dengan Umno untuk tumbangkan kerajaan PAS di Kelantan seperti yang pernah dilakukan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) pada PRU 1978.

“Kemungkinan itu tidak dapat ditolak, boleh jadi Umno taja calon daripada AMANAH di kawasan yang mereka anggap boleh menang,” katanya, memetik laporan Harakah Daily.

BERJASA merupakan serpihan daripada PAS yang diasaskan oleh Datuk Muhamed bin Nasir yakni bekas Menteri Besar Kelantan yang dipecat dari parti Islam itu.

AMANAH yang kini difahamkan mempunyai kira-kira 21,000 ahli juga parti serpihan PAS yang ditubuhkan selepas beberapa pemimpin gagal mempertahankan jawatan pada muktamar parti di Kuala Selangor pada 2015.

Justeru, kata Mohd Amar, beliau mengajak jentera PAS di semua peringkat melipat gandakan usaha bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Kita hendaklah berusaha sedaya mungkin bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang. Sekarang kelihatan muncul satu kesedaran cinta kepada perjuangan.

“Kalau kita sayangkan Kelantan hendaklah kita mempertahankan kerajaan negeri seumpama Rasulullah SAW dan para sahabat mempertahankan Kota Madinah ketika perang Ahzab,” tambah beliau.

Lihat Komen
ADS