Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masalah petrol, diesel di Bario selesai Selasa ini
Diterbitkan:  Jan 8, 2017 11:49 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak telah menghantar bekalan diesel dan petrol ke Bario semalam bagi mengatasi masalah kekurangan bahan itu di kawasan berkenaan.

Pengarahnya Datuk Stanley Tan berkata sebanyak 1,000 liter diesel dan 3,000 liter petrol telah dihantar ke kawasan itu.

"Penghantaran kedua akan dilakukan esok (Isnin) dan akan sampai (di sana) pada Selasa kerana jalan yang kurang baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kali terakhir penghantaran ke kawasan tanah tinggi itu dibuat ialah pada 5 Dis lalu.

Jumaat lepas, sebuah akhbar melaporkan berlaku kekurangan diesel serta petrol yang kritikal di Bario sehingga menyukarkan kehidupan harian penduduk di sana.

Mengulas perkara itu Tan berkata masalah kekurangan bekalan tersebut berpunca daripada program penyeragaman harga yang bermula awal tahun ini.

Menerusi program penyeragaman harga, kerajaan membayar kos pengangkutan supaya harga di pedalaman sama dengan harga di bandar, katanya.

"Diharapkan dengan bermulanya program penyeragaman harga ini yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan di Bario," kata Tan.

Bario, satu kawasan pedalaman di utara Sarawak, hanya boleh dihubungi menggunakan pesawat kecil atau dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang mengambil masa sehingga 12 jam dari Miri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS