Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan Akta 355 umpama Maulidur Rasul, kata PAS
Diterbitkan:  Jan 10, 2017 10:24 AM
Dikemaskini: 9:10 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membenarkan Himpunan Akta 355 pada 18 Februari depan kerana ia merupakan himpunan aman dan mematuhi undang-undang.

Dalam kenyataan medianya, PAS turut mengingatkan MCA tidak melatah kerana ia akan berjalan dengan tertib dan hanya untuk mendidik rakyat.

"Himpunan 355 ini tiada perarakan jalan raya, tiada gerakan anti keamanan dan tidak mengancam kestabilan negara.

"Himpunan 355 turut dimaknakan dengan solat hajat perdana, kami akan mengundang Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad untuk membimbing munajat dan menyampaikan kuliah khas mengenai RUU 355," kata Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan.

Selain itu, Nasruddin turut berkata, PAS memberi jaminan untuk menjaga kebersihan tapak program, keselamatan, ketenteraman awam, keceriaan ibu kota dan akan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad pula mengumpamakan himpunan itu seperti perarakan Maulidur Rasul.

“Jika pada perarakan Maulidur Rasul umat Islam turun beramai-ramai untuk menyatakan rasa kasih mereka terhadap Rasulullah SAW, tetapi Himpunan Akta 355 itu umat Islam turun menyatakan sokongan mereka terhadap usaha memperkasakan Mahkamah Syariah kerana rasa kasih mereka terhadap agama Islam.

"Kedua-dua perarakan dan himpunan itu merupakan cara umat Islam menyatakan komitmen dan kasih mereka terhadap agama. Komitmen untuk melihat Mahkamah Syariah diangkat akan martabatnya," katanya.

PAS merancang mengadakan himpunan besar - Himpunan Akta 355 pada 18 Februari depan dengan menyasarkan kehadiran 300,000 orang.

Himpunan tersebut bertujuan untuk memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam mengenai akta berkenaan dan ia akan turut disertai kumpulan NGO yang menyokong pindaan Akta 355.

PAS mahu menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah melalui usul yang dibawa oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Lihat Komen
ADS