Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tajaan percutian: Kaki rasuah dalam radar SPRM
Diterbitkan:  Jan 15, 2017 11:13 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Penjawat awam yang mengamalkan tabiat meminta tajaan percutian daripada kontraktor kini berada dalam permerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, ini kerana tabiat negatif itu dilihat mula dipraktikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, kata Azam, selain meminta tajaan percutian bersama keluarga dan rakan sekerja sebagai habuan daripada urus niaga mereka, individu yang terbabit juga dipercayai turut menghabiskan wang kerajaan untuk kepentingan diri.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak atau agensi kerajaan secara khusus tetapi ketua-ketua jabatan perlu membuat pemantauan terhadap kakitangan mereka dari semasa ke semasa.

"Selain itu, ketua jabatan juga perlu memantau pergerakan serta mengambil tahu projek di bawah seliaan pegawai bawahan mereka supaya tindakan proaktif dapat diambil sekiranya terdapat kegiatan mencurigakan," kata Azam dipetik Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azam berkata, hasil risikan yang dijalankan SPRM telah mengumpulkan maklumat berhubung perbuatan segelintir penjawat awam yang terlibat dalam perbuatan rasuah ini.

Tegas Azam, SPRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat.

"Tanggungjawab penjawat awam amat besar dan mereka tidak sepatutnya menyalahgunakan kedudukan yang diberi demi kepentingan sendiri.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat ini kerana ia bukan sahaja membawa padah kepada kerajaan tetapi juga menjejaskan periuk nasi pelbagai pihak," tegas Azam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad sebelum ini mengingatkan penjawat awam peringkat pengurusan tertinggi di seluruh negara supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Dzulkifli dipetik sebagai berkata, mereka tidak perlu ke luar negara untuk bermain sukan itu kerana di dalam negara sendiri ada banyak padang golf lengkap dengan prasarana.

Lihat Komen
ADS