Paling Popular
Terkini
story images
story images

Hanya untuk menampilkan buruknya perangai dan tidak konsistennya Tun Dr Mahathir Mohamad, kenyataan beliau mengenai BR1M malam tadi dilaporkan begini: “Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), memberi bayangan BR1M akan diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan kontroversi menyatakan bantuan tersebut kononnya sebagai rasuah kerajaan, berkata, BR1M akan dikekalkan jika bantuan itu didapati penting buat rakyat.”

Kenyataan di atas ialah oleh mStar Online sementara BH Online pula menyebut, Dr Mahathir memberi bayangan BR1M akan diteruskan jika parti campuran itu memenangi PRU ke-14.

“Kenyataan itu jelas bercanggah dengan dakwaan beliau baru-baru ini yang melabelkan BR1M kononnya rasuah yang diberi oleh kerajaan.”

Kedua-duanya menggunakan perkataan bayangan pada perenggan intro. Kira OK-lah.

Bagaimanapun, dengan memasukkan perkataan "kenyataan kontoversi" oleh mStar, dan BH Online pula menggunakan "bercanggah dengan dakwaan" ia memberikan gambaran seolah-olah Dr Mahathir menolak bantuan untuk rakyat

Apakah tujuan mereka menunjukkan Dr Mahathir seorang pemimpin yang 'klu-klek’ atau istiqamah dengan kenyataan dan pendiriannya?

Apakah untuk menggambarkan Dr Mahathir tidak menghargai bantuan untuk rakyat?

Sedangkan apa yang ditolak oleh Dr Mahathir mengenai BR1M sebelum ini ialah ia dijadilan alat politik untuk meraih sokongan. Umpamanya, mengapa mesti pemimpin Umno perlu menyampaikan bantuan itu untuk fasa pertama.

Kerajaan bersetuju dengannya mungkin hasil desakan melalui Perhimpunan Agung Umno 2016 lalu.

Tolong dengar, fahami

Sepatutnya, fahami apa yang diucapkan oleh Dr Mahathir dan tidak membuat laporan mengelirukan melalui tafsiran sendiri demi mengulas apa yang dimaksudkan BR1M oleh Pengerusi BERSATU itu.

Kata Dr Mahathir pada perasmian PPBM semalam: “Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka ​boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran ​pembangkang tidak akan diambil kira dalam bantuan yang akan diberi.

"Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan ​diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan ​dalam pilihan raya.”

Penting di sini – yang miskin dan daif diberikan bantuan. Rasuah berbentuk wang atau barangan tidak akan diberi kepada pengundi untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya.

Malah, kata Dr Mahathir, jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai kKerajaan.

BR1M juga tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto ​mana-mana parti.

Penting juga di sini – jika BR1M mustahak akan diagih oleh pegawai kerajaan. Tidak boleh dijadikan manifesto pilihan raya.

Apa yang dibayangkan oleh Dr Mahathir ialah, jika ditakdirkan pembangkang memerintah, mereka akan menilai sama ada ia perlu atau mustahak, atau sebaliknya.

Malah BR1M boleh dijenama atau dinamakan dengan panggilan lain tetapi tetap bantuan untuk rakyat.

Dr Mahathir juga meletakkan syarat bahawa, BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ​ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa, jika ia dipersetujui oleh rakyat.

Perdana menteri tidak ​boleh menentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

Penting di sini – BR1M adalah bantuan ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa. Perdana menteri tidak ada kuasa tentukan pemberian, jumlah atau cara penyampaian. Inipun jika dipersetujui oleh rakyat.

Tolong dengar, baca, teliti dan faham ucapan beliau. Bukannya mengulas melalui persepsi sendiri. Fahami secara mendalam apa yang diperkatakan oleh beliau, bukan dengan tanggapan yang berkepentingan.

Akibat tindakan sedemikian maka gegak gempitalah berita media perdana dengan tajuk seperti “BR1M akan diteruskan jika pembangkang menang - Tun M” oleh mStar, juga “BR1M mungkin diteruskan parti campuran” oleh BH Online.

Sebaliknya laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star lebih jelas apabila mengatakan: “Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) has indicated that it will maintain the BR1M if it wins in the next general election. Its chairman Tun Dr Mahathir Mohamad said BR1M would be maintained if it was found to be essential, but would have to be made into a statutory aid determined by law and the budget.”

Nyata benar cara penyiaran berita akhbar Melayu dan Inggeris amat berbeza, termasuk antara mStar dan The Star sendiri.

Sangat mudah difahami

Sama ada ia untuk kepentingan pembaca atau parti, tidaklah diketahui. Namun, perbezaan ayat yang cukup jelas itu mengambarkan betapa penggunaan perkataan dan pengolahan ayat itu membawa makna berbeza.

Portal mStar meletakkan perkataan "namun" yang menjelaskan kenyataan sebenar Dr Mahathir pada perenggan ketiga, dan begitu jugalah dengan BH.

Jika disebut bahawa laporan Malaysiakini lebih baik, akan ada pula pihak akan menuduh kenyataan itu sebagai memuji media yang kononnya menyokong pembangkang.

Namun laporan oleh Malaysiakini sangat mudah difahami dan berciri straight forward reporting apabila menyebut: “Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap terbuka untuk mengekalkan BR1M sekiranya pembangkang, bersama-sama BERSATU mengambil alih kuasa.

"Dr Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, berkata BR1M akan dikekalkan jika dasar itu didapati perlu. Bagaimanapun, beliau berkata sebarang usaha untuk menggunakan dasar itu bagi memancing undi akan dihapuskan.”

Portal FMT juga jelas dalam laporannya dengan melaporkan: “Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan BR1M akan dikekalkan oleh kerajaan pembangkang sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada PRU14.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun berkata, BR1M tidak boleh dimasukkan ke dalam manifesto mana-mana parti.”

Apakah dengan melaporkan yang benar itu bermakna mereka menyokong pembangkang?

Pada ketika banyak portal dan media sosial ditakrifkan sebagai menyokong pembangkang, media rasmi yang jelas prokerajaan janganlah membuat laporan ‘menyeleweng’ dan terlalu mendedahkan ia untuk kepentingan parti pemerintah atau individu tertentu.

Pada ketika media arus perdana sedang menghadapi ujian ditolak oleh sesetengah pengikut lamanya, selain gagal menarik pembaca baru, laporan atau pemberitaan jangan terlalu terkongkong dengan kepentingan keterlaluan oleh pihak tertentu.

Biar rakyat atau pembaca menilai kejujuran atau pembohongan sesuatu kenyataan pemimpin melalui laporan yang tepat dan jelas.

Bola di kaki anda. Tetapi jika tangan sudah diikat atau pisau sudah diletakkan di leher, pertimbangkanlah sendiri apa yang wajar dilakukan.

Cuma jika masih memilih spin berlebihan, ia akan merosakkan imej akhbar atau pertubuhan media itu sendiri.

Ini kerana kebanyakan rakyat di Malaysia kini, khususnya golongan muda, sudah bijak dan jemu dengan pemberitaan yang dikawal.

Pemberitaan di dekad ini tidak sama lagi dengan dekad 70-an, 80-an dan 90-an.

Rakyat atau pengikut media sebenarnya sudah mampu membandingkan antara laporan pemberitaan yang baik atau yang berpihak, tidak kira yang dihidangkan di dalam negara atau yang datang dari sumber luar negara.


HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini perunding media bebas. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan sikap Malaysiakini

Lihat Komen
ADS