Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Golongan muda di negara ini wajar belajar hidup dalam lingkungan kemampuan kewangan masing-masing bagi mengelak terperangkap dalam lingkaran hutang.

Menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berdasarkan statistik daripada kajian Jobstreet tahun lalu, berlaku kejanggalan antara purata gaji dengan perbelanjaan mereka.

"Golongan muda berbelanja seolah-olah mereka memperoleh pendapatan RM6,500 sebulan ketika purata gaji sebenar mereka hanya antara RM2,500 hingga RM2,800 sebulan," katanya kepada media selepas majlis penutupan Karnival Kewangan di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Karnival itu berlangsung sejak tiga hari lalu.

Menteri belia dan sukan itu berkata golongan muda yang baru menamatkan pengajian di universiti mengutamakan keinginan yang berada di luar keperluan.

Oleh kerana itu kata Khairy, mereka berbelanja dan hidup di luar kemampuan sebenar.

Untuk menampung gaya hidup masing-masing, katanya, ramai golongan belia semakin bergantung kepada kad kredit serta pinjaman peribadi tanpa banyak pengetahuan mengenai cara menguruskan hutang.

"Bukan saja berbelanja dengan kad kredit, mereka juga tidak membayar hutang," katanya.

Jangan jadi pejuang palsu

Melalui kaji selidik Jobstreet itu, kira-kira 30 peratus responden di kalangan lepasan baru universiti mengharapkan gaji pertama mereka setinggi hingga RM6,500 untuk hidup selesa.

Pada masa sama, 68 peratus majikan menganggap jumlah itu "tidak realistik" dan menjadi satu daripada punca utama berlaku pengangguran di kalangan golongan lepasan baru universiti.

Mengulas lanjut Khairy turut merujuk kajian Bank Negara pada tahun lalu yang mendapati ada sehingga 27 peratus golongan muda membelanjakan pendapatan masing-masing untuk hiburan berbanding simpanan.

Sementara itu Khairy juga menyeru belia negara ini tidak menjadi "pejuang palsu" dengan menyertai kumpulan militan.

Sebaliknya kata beliau semangat dan keberanian itu mesti disalurkan dengan cara yang betul seperti menjadi sukarelawan.

Khairy sendiri akan menyertai misi kemanusiaan bersama sukarelawan MYCorps untuk membantu mangsa perang Syria pada minggu depan.

"Jangan jadi pejuang palsu dengan menyertai IS," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS