Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal seks: Anina pilih diamkan diri kerana...
Diterbitkan:  Jan 16, 2017 9:05 AM
Dikemaskini: 1:26 AM

Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin tampil menjelaskan sebab beliau mendiamkan diri walaupun banyak pihak mengaitkannya dengan skandal seks sehingga menjejaskan perjalanan politik.

"Saya mendiamkan diri kerana tiada bukti kukuh mengaitkan diri saya dalam hal itu," kata beliau yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi BERSATU.

Menurut Anina, setakat ini tiada sebarang bukti kukuh bagi mensabitkan dirinya dalam hal itu, memetik laporan Sinar Harian.

“Saya tiada sebarang komen terhadap skandal seks yang dikatakan ditujukan kepada saya kerana tiada apa-apa bukti menunjukkan saya sebagai individu terlibat.

“Selagi tidak ada bukti, saya tidak akan berkata apa-apa sebab saya tidak nampak asas bahawa saya terlibat hal tersebut. Oleh sebab itu saya mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang kenyataan berkenaan hal tersebut,” katanya lagi.

Kata Anina lagi, dakwaan skandal seks itu menggambarkan dirinya begitu penting dalam dunia politik tanah air sehinggakan taktik kotor itu digunakan bagi menjatuhkannya.

“Bagi saya ia tidak mengejutkan, kerana mungkin kehadiran saya dalam politik negara maka saya dikaitkan dengan hal tersebut.

“Tetapi ia tidak langsung menjatuhkan saya. Malah sokongan rakyat akar umbi makin bertambah kuat kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, meskipun bukan lagi ketua srikandi BERSATU, kehadiran pada majlis pelancaran parti berkenaan baru-baru ini sebagai komitmennya yang merupakan salah seorang daripada tujuh pengasasnya.

“Saya adalah antara pengasas BERSATU. Saya perlu datang kerana komitmen saya untuk menentang kerajaan kleptokrat dan berdiri kukuh di belakang Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi BERSATU). Gagasan Mahathir itu akan saya sokong hingga ke akhir perjuangan saya.

“Saya tiada rasa apa-apa tetapi bangga dapat bersama dengan pucuk kepimpinan BERSATU. Paling mengembirakan saya kehadiran ahli yang datang dari seluruh negara tanpa perlu peruntukan kepada mereka,” katanya.

Kata beliau, objektif dalam perjuangan adalah untuk menyelamatkan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digugurkan.

“Saya difahamkan saya bukan lagi Ketua Srikandi, namun itu bukan isunya. Ketika awal BERSATU ditubuhkan, saya telah menolak beberapa kali jawatan itu kerana ia bukanlah objektif perjuangan saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS