Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang sokong manifesto BERSATU mengenai 1MDB
Diterbitkan:  Jan 16, 2017 1:22 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini tampil menyokong manifesto Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang antaranya mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat 1MDB ditubuhkan.

Penubuhan RCI yang bebas itu akan menjadi antara perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang, kata beliau yang juga ahli Parlimen Gelang Patah.

"Tanpa ragu-ragu, salah satu perkara pertama akan dilakukan oleh kerajaan Persekutuan baru di Putrajaya yang menggantikan UMNO, BN adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 'memburu setiap sen dari 1MDB'.

"Malah, jika kita mempunyai Kabinet yang patriotik dan melindungi nama baik Malaysia, keutamaan agenda mesyuarat Kabinet pada Rabu ini hendaklah berkisar mengenai bagaimana untuk membersihkan nama negara daripada kehinaan dan azab yang dianggap di seluruh dunia sebagai "kleptokrasi global," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut adalah teks ucapan beliau semasa majlis ulang tahun ke-50 DAP di Balik Pulau, Pinang Pinang pada hujung minggu yang lalu.

Semasa majlis pelancaran BERSATU, Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan manifesto parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ia termasuk mendapatkan semula setiap sen yang didakwa "dicuri" daripada 1MDB dan kerajaan jika menang, katanya.

"Kita akan siasat dengan teliti dana 1MDB yang telah disalahgunakan.

"Kita akan buru setiap sen dari 1MDB dan kerajaan yang (didakwa) mencuri, yang kita tahu ada di tangan individu tertentu," katanya disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira-kira 5000 hadirin pada majlis pelancaran rasmi parti itu di Shah Alam malam tadi.

Semantara itu, pada majlis yang sama, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan memastikan wang yang didakwa dicuri dari 1MDB dapat dikembalikan ke Malaysia, sesuatu yang BN gagal untuk lakukannya sehingga hari ini.

Jelas Muhyiddin, jika mereka diberikan mandat untuk memerintah, beliau mahu membentuk RCI untuk menyiasat 1MDB dan untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kepimpinan Umno mungkin mempunyai alasan mereka tersendiri untuk menyembunyikan skandal 1MDB seperti 'menyapu ke bawah permaidani'.

"Tetapi mengapa menteri-menteri dari MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak juga menutup mulut mereka mengenai isu 1MDB - tidak berani bersuara mengenai skandal kewangan mega dalam Kabinet dan kerajaan," tanya Lim.

Lihat Komen
ADS