Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pukul pengawal - Datuk Seri serah diri pada polis
Diterbitkan:  Jan 16, 2017 3:06 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Seorang lelaki berpangkat Datuk Seri hari ini menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan kes serangan ke atas pengawal keselamatan sebuah kondominium di George Town, Pulau Pinang.

Ahli perniagaan itu dilaporkan New Straits Times hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, berkata kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Portal berita itu juga melaporkan, sebuah kereta polis dilihat tiba di kawasan kondominium berkenaan kira-kira jam 11.10 pagi dan keluar dari situ kira-kira satu setengah jam kemudian.

Tidak dapat dipastikan apa yang berlaku di situ kerana wartawan dilaporkan dilarang memasuki premis Kondominium Delima Palace berkenaan.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang pengawal keselamatan cedera selepas dipukul dengan pemotong besi di Green Lane, George Town.

Lelaki terbabit dipercayai berang apabila tayar kenderaannya dikunci kerana diletakkan di kawasan pelawat.

Ketika suspek membuka pengapit tayar kereta Mercedes Benznya, seorang pengawal keselamatan merakam aksi berkenaan dari belakang namun ia menyebabkan lelaki terbabit berang.

"Lagi mau tengok apa?" katanya sambil bergerak ke arah pengawal keselamatan terbabit dengan membawa pemotong besi.

Pengawal keselamatan yang merakamkan kejadian itu kedengaran merayu "Bos, bos.." sebelum klip video sepanjang 39 saat itu berakhir.

New Straits Times melaporkan Datuk Seri terbabit turut menumbuk dan menendang pengawal keselamatan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

Pengawal keselamatan berusia 43 tahun terbabit mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan akibat serangan berlaku pada Sabtu lalu itu.

Kedua-dua pihak membuat aduan kepada polis dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan.

Lihat Komen
ADS