Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan bersedia menukar empat kerusi dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain untuk pilihan raya umum ke-14, kata Presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong.

Kenyataan Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, itu senada dengan keputusan Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang dilaporkan bersedia untuk melakukan pertukaran atau pinjaman kerusi di Pulau Pinang.

Tanpa menamakan kerusi terbabit, Mah berkata pertukaran itu melibatkan kerusi di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Pulau Pinang serta negeri lain.

Beliau berkata perkara itu telah dibincang bersama dengan parti komponen BN yang lain iaitu UMNO, MCA dan MIC namun keputusan mengenainya masih tertakluk kepada persetujuan Pengerusi BN iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami sudah di peringkat akhir menetapkan untuk empat kerusi sedia ditukar baik di Dewan Undangan Negeri mahu pun Parlimen," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Mah berkata pertukaran empat kerusi terbabit akan diumumkan selepas mendapat persetujuan perdana menteri.

Ong sebelum ini dilaporkan berkata MCA Pulau Pinang tidak akan membantah jika berlaku pertukaran atau pinjaman kerusi melibatkan parti berkenaan dengan parti komponen BN lain demi memastikan kemenangan BN di negeri itu pada PRU14. -Bernama

Lihat Komen
ADS