Paling Popular
Terkini
story images
story images

"Here, we have Tun Mahathir creating fear, using race, just to fulfill his political motives. He's not stupid, he's just selfish and opportunistic", he (Sultan Johor) added.

Itu kenyataan Tuanku Sultan Johor yang tajam dan tepat ketika mengulas kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kemasukan pelabur asing dari China ke Johor.

Kenapa kemasukan pelabur asing dari negara lain tidak menjadi isu? Jawapannya mudah. Kemasukan pelabur asing dari China mudah dieksploitasi dengan sentimen kaum. Kerana ia isu sensitif dan cepat laku dalam politik Malaysia.

Memang benar Tun M bukan bodoh. Dia juga membawa masuk pelabur asing selama 22 tahun menjadi perdana menteri. Tetapi Tuanku Sultan Johor lebih arif menyelami apa yang tersirat di hati Tun M.

Dia mahu menimbulkan rasa takut di hati orang Johor kerana motif politik. Sebab itu Tun M memainkan isu yang dipetik daripada Bloomberg iaitu 700,000 rakyat China akan mendapat kewarganegaraan akibat kemasukan pelabur China ke Johor.

Tun M mahu menjadikan Johor sebagai negeri tumpuan untuk parti barunya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - BERSATU) bertapak dan membina pengaruh.

Dia memang tidak bodoh. Dia opportunist. Sebab itu Tun M boleh membuat pusingan U sekelip mata. Tun M sekarang ini sanggup mengatakan DAP bukan parti cauvinis walapun sebelumnya semasa 22 tahun berkuasa dia menuduh Lim Kit Siang adalah anti Melayu dan pelampau perkauman.

Isunya sekarang, apa pendirian Lim Kit Siang?

Sebagai orang Johor dan kini ahli parlimen Gelang Patah, apakah dia bersetuju dengan Tun M? Lim Kit Siang wajar dicabar untuk menyatakan pendirian terhadap kritikan Tun M dan teguran Tuanku Sultan Johor.

Apatah lagi pelaburan dari China itu akan mendatangkan manfaat kepada kawasan parlimen Gelang Patah.

Lagi pun anaknya sendiri, Lim Guan Eng, paling banyak membawa masuk pelabur asing dari China ke Pulau Pinang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin Presiden BERSATU juga wajar menyatakan pendiriannya kerana turut senada dengan Tun M apabila mengkritik penglibatan pelabur dari China untuk projek ECRL (Landasan Kereta Api Pantai Timur) dan Bandar Malaysia.

Justeru teguran Sultan Johor wajar membuka minda rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya mengenai siapa yang bermain politik dan benar-benar mahu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Daulat Tuanku!⁠⁠⁠⁠


DATUK DR MOHD PUAD ZARKASHI ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Beliau juga bekas anggota parlimen Batu Pahat. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau.

Lihat Komen
ADS