Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
ADUN Sungai Air Tawar meninggal dunia
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 10:36 AM
Dikemaskini: 5:20 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik, 58, meninggal dunia di kediamannya di Sabak Bernam hari ini.

Pemandunya, Mohd Sufaat Salimin berkata, kematian Kamarol Zaki disedari kira-kira pukul 8 pagi ini ketika beliau mahu mengambilnya untuk menghadiri satu program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan hari ini.

Menurut Mohd Sufaat, menyedari Allahyarham tidak keluar dari kediamannya, beliau terpaksa bertindak memecahkan pintu dan menemui Kamarol Zaki terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu kediamannya.

Allahyarham merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam dan Ketua Umno Cawangan Sungai Air Tawar.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Nor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan kematian Kamarol Zaki, namun tidak dapat memberikan maklumat lanjut ketika ini.

Pada pilihan raya umum lepas, Kamarol Zaki yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungam Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata Umno Selangor kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat.

Noh merakamkan ucapan takziah kepada semua anggota keluarga dan kepimpinan UMNO Sabak Bernam atas pemergian Allahyarham.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman pula berkata Allahyarham dikenali sebagai seorang yang peramah dan sentiasa aktif dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sewaktu hayatnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Kamarol Zaki, yang meninggal dunia hari ini.

"Innalillah. Terima berita ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik telah pulang ke rahmatullah pagi tadi.

"Takziah kepada keluarga. Al-Fatihah," tulis perdana menteri dalam catatan di laman Twitter beliau hari ini.

Lihat Komen
ADS