Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Armand: Pusat patut tekan kedai beri plastik percuma
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 12:25 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Kerajaan Selangor terus berdepan soalan ke mana perginya bayaran plastik beg 20sen yang dijual di pusat jualan utama bermula awal tahun ini bagi mengurangkan pencemaran.

“Tahniah saya nak ucapkan pada kerajaan Selangor bawah (Datuk Seri) Azmin Ali yang melaksanakan dasar ini, yang jelas saya lihat menekan rakyat dengan memberikan keuntungan pada syarikat-syarikat dan peniaga-peniaga.

“Persoalan saya ke mana pergi 20sen ini?” soal exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Menteri Besar Selangor semalam mengarahkan exco alam sekitar negeri Elizabeth Wong memberi penjelasan berhubung kritikan terhadap dasar baru itu.

Kata Azmin Ali, Wong sebelum ini berkata maklum balas daripada pengguna amat positif.

Untuk tidak menggalakkan penggunaan beg plastik, pengguna di pusat komersial utama tidak lagi diberikan plastik beg percuma, tetapi harus membayar 20sen setiap satu untuk menggunakannya.

Dalam kenyataan hari ini, Armand berkata kerajaan negeri sepatutnya mencari penyelesaian “bersangkutan dengan alam sekitar”, bukan menguntungkan pasar raya besar dan peniaga.

“Dalam isu ini saya lihat, pasar raya besar mengambil kesempatan terhadap pengguna, sepatutnya pasar raya besar ini menjaga kepentingan pengguna.

“Bukankah lebih baik ia diberikan secara percuma sebahagian daripada tanggungjawab CSR (tanggungjawab awam) pasar raya besar pada pengguna?” soalnya lagi.

Armand turut berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandang serius apa yang berlaku, selain mempersoalkan suara badan pengguna.

“Saya mohon pihak KPDNKK mengambil pendekatan dengan berbincang dengan pasar-pasar raya ini mencari jalan penyelesaian bagi kepentingan rakyat.

“Saya berpendapat kerajaan pusat harus menekan pasar raya besar ini untuk membekalkan beg alternatif pada pengguna secara percuma agar tidak membebankan rakyat,” katanya lagi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar juga pernah mempertikaikan larangan berkenaan dan ke mana kutipan jualan beg plastik itu disalurkan.

Lihat Komen
ADS