Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1.2j penumpang dalam sebulan pertama, kata MRT
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 1:45 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama laluan Sungai Buloh-Semantan telah membawa 1.2 juta penumpang sehingga semalam, sejak mula beroperasi pada 16 Dis tahun lepas.

Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan Sungai Buloh–Kajang, Rapid Rail Sdn Bhd, Muhammad Isom Azis berkata sepanjang tempoh perkhidmatan secara percuma selama sebulan itu, MRT menerima 27,000 ke 30,000 pengguna secara purata setiap hari.

"Jumlah ini dikira memberangsangkan memandangkan laluan belum diintegrasikan sepenuhnya," katanya dalam sidang media sempena Sesi Tinjauan Mesra bersama media di Stesen MRT Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Muhammad Isom berkata, pihaknya berharap jumlah penumpang akan bertambah kepada 40,000 hingga 50,000 sehari bermula hari ini selari dengan usaha mempromosikan penggunaan perkhidmatan MRT kepada umum.

"Kita juga meneruskan usaha untuk menggalakkan pengguna menggunakan sistem tanpa tunai, yang bukan sahaja memudahkan perjalanan, tetapi juga dikenakan tambang yang lebih rendah berbanding bayaran tunai mengikut jarak perjalanan, " katanya.

Beliau berkata operasi MRT yang memulakan sistem bayaran berkuat kuasa hari ini secara keseluruhannya berjalan lancar.

Perkhidmatan fasa pertama MRT antara stesen Sungai Buloh-Semantan melibatkan 12 stesen sejauh 21 kilometer meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Pengguna dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90 bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah sistem tanpa tunai bermula hari ini.

Pelajar, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU) ditawarkan diskaun 50 peratus.

Bagi fasa kedua, MRT SBK Line yang melibatkan laluan 30 kilometer untuk 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 31 Julai ini.

Penumpang boleh mendapatkan butiran lanjut mengenai struktur tambang MRT dengan melayari laman sesawang myrapid.com.my.

- Bernama

Lihat Komen
ADS