Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk melarang “kapcai” memasuki pusat bandar Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon, selain bagi menangani jenayah ragut, mendapat reaksi tidak senang, khususnya dari golongan berpendapatan rendah yang saban hari keluar dan masuk ke bandaraya itu.

Seorang pegawai sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Fadli Nazari, 34 dari Damansara antara yang mempersoalkan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu.

"Pertama, cadangan itu walaupun di peringkat cadangan sebenarnya mencabuli azam perdana menteri yang berikrar pada satu masa dahulu untuk mendengar denyut nadi rakyat.

"Kita ambil contoh jika ia dilaksanakan, adakah pekerja penghantaran yang menghantar dokumen dari satu pejabat ke pejabat lain di kawasan pusat perniagaan Kuala Lumpur perlu menggunakan LRT untuk menghantar dokumen yang diamanahkan kepada mereka?" soal Ahmad Fadli.

Tegas Ahmad, apa yang diutarakan itu hanya akan menyukarkan pelaksanaan kerja golongan berpendapatan rendah.

"Cadangan ini menyukarkan golongan B40 dan M40 untuk melaksanakan kerja mereka," kata Ahmad Fadli kepada Malaysiakini.

Kelmarin, Tengku Adnan yang popular dengan panggilan Ku Nan dilaporkan berkata, motosikal berkapasiti enjin kecil atau 'kapcai' mungkin dilarang memasuki Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon, selain bagi menangani jenayah ragut.

Kata Ku Nan, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.

"Pada waktu siang, populasi (dalam bandar) meningkat kepada antara lima dan tujuh juta kerana pekerja berulang-alik ke tempat kerja.

"Kebanyakan bandar utama tidak membenarkan penggunaan motosikal 'kapcai'," kata Ku Nan lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mungkin boleh mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mengurangan kadar pelepasan karbon.

"Pada masa sama, DBKL mungkin perlu mengehadkan kemasukan kereta dengan kapasiti enjin yang besar jika ia serius mahu mengurangkan kadar pelepasan.

"Atau jika DBKL mahu buat duit lebih, kenakan cukai pelepasan karbon ke atas kereta berenjin besar jika mereka mahu masuk ke kawasan segitiga emas Kuala Lumpur," kata Ahmad.

Difahamkan Ahmad sudah lebih 10 tahun menggunakan kapcainya bagi memudahkan urusan hariannya ketika berdepan dengan kesibukan bandaraya Kuala Lumpur itu.

Seorang mekanik, Abdul Rahman Zainuddin, 25, dari Puchong pula berkata, dengan keadaan ekonomi negara dan juga ekonomi dunia yang semakin tidak menentu hari ini, beliau bingung dengan cadangan tersebut.

Bagi Abdul Rahman, cadangan itu hanya akan menambah beban yang ditanggung rakyat hari ini.

"Apa yang dicadangkan memang menyusahkan dan membebankan rakyat dan saya 100 peratus tak menyokongnya.

"Rakyat hari ini pun rata-ratanya susah dan tak mampu nak ikut pun cadangan menteri nak beli superbike, ditambah lagi dengan keadaan ekonomi hari ini memang tak mampulah kita.

"Tak kanlah rakyat nak cari superbike pula semata-mata mahu masuk Kuala Lumpur? Mana nak cari duit dengan nak hidup lagi?" soal Abdul Rahman kepada Malaysiakini.

Tambah Abdul Rahman, cadangan itu juga dilihat tidak sepatutnya dilakukan kerana semua kenderaan yang menggunakan enjin ada karbon, namun apa yang membezakannya adalah dari segi enjin sama ada empat lejang atau dua lejang.

"Kalau dua lejang memang ia akan mengeluarkan asap dan itu yang menyebabkan pencemaran tapi kalau empat lejang tak ada pun.

"Jadi saya rasa tak patutlah dihalang motor kapcai ini masuk Wilayah Kuala Lumpur cuma kalau dia kata cara untuk menghindarkan itu, dia kena mengarahkan kilang motor untuk menghentikan pengeluaran motor dua lejang. Itu sahaja," kata Abdul Rahman.

Motor dua lejang yang dimaksudkan Abdul Rahman adalah seperti Yamaha 125 dan Yamaha RXZ.

Sementara itu, seorang lagi pengguna motor kapcai Rajan Simatram, 55, meskipun mempunyai kereta namun beliau memilih mengunakan motor itu kerana baginya ia sangat memudahkan pergerakan hariannya, lebih-lebih lagi caj yang tinggi dikenakan bagi pengusaha tempat letak kereta.

"Jangan susahkan rakyat yang berpendapatan rendahlah, kalau rakyat senang dan banyak duit, dia boleh masuk Kuala Lumpur dan letak kereta di mana-mana.

"Saya ada dua buah kereta tapi saya tak nak pakai kereta sebab jalan di Kuala Lumpur hari-hari sesak sampai saya stress, ditambah pula dengan caj parkir yang mahal," kata Rajan.

Oleh demikian, Rajan mahu kerajaan mengambil langkah proaktif dan bukan mengadakan terlalu banyak larangan.

"Kerajaan kena proaktif, jangan cakap itu tak boleh, ini tak boleh, kena cari cara lain," kata Rajan.

Manakala Mohd Farizuan Kamalulail, 23, dari Banting pula berkata penggunaan minyak bagi motor kapcai sangat menjimatkan dan meringkan kos sara hidupnya sebagai seorang pelajar.

"Dengan ekonomi negara hari ini ia menjadikan rakyat semakin terbeban.

"Kapcai ini jimat minyak dan memudahkan kami mengelak kesesakan trafik untuk ke tempat kerja dan ke kuliah.

"Kami juga hanya mampu pakai motor kapcai saja dan cadangan menteri itu menyusahkanlah sebab kami dari dulu lagi dan pakai motor kapcai.

"Lagi pun bukan motor kapcai sahaja yang keluarkan karbon sebab kenderaan lain juga mengeluarkan karbon, kenapa tak larang juga?" soal Mohd Farizuan.

Kata Mohd Farizuan lagi, dalam isu ragut pula, bukan semua pemilik kapcai sampah masyarakat dengan membuat kerja-kerja tidak berfaedah itu.

"Bukan semua pengguna motor kapcai ini peragut, mat rempit dan sampah masyarakat sebab kami (pengguna) motor kapcai nak mudahkan pergerakan harian kami yang dah menjadi keperluan.

"Nak-nak lagi bila harga minyak hari ini dah mula naik," tegas Mohd Farizuan dengan nada kesal.

Kata Mohd Farizuan lagi, janganlah hanya bertindak menyalahkan pemilik kapcai ini sahaja sedangkan mereka yang memilik motor berkuasa besar juga ada yang terlibat dengan jenayah itu.

"Macam kes ragut, lebih baik mereka naik superbike. Superbike lebih laju kalau kena kejar dengan polis pun tapi kalau motor kapcai macam kami ini nak lari macam mana pun polis mesti akan dapat.

"Jadi janganlah nak salahkan kami pengguna motor kapcai," kata Mohd Farizuan.

Namun, berbeza pula pandangan seorang ahli perniagaan Ahmad Zaidi Masri, dari Kuala Lumpur yang bersetuju dengan cadangan menteri itu.

"Elok juga, pertama sebab kes ragut yang mana kita lihat belum pernah peragut naik motor Harley Davidson dan mereka ini berbahaya di mana saya nyaris langgar 'Mat rempit' yang cuba memotong sebelah kiri," kata Ahmad Zaidi.

"Semak, kata nak jadi metropolis, contohi Tokyo, Hong Kong, mahu pun Singapura," kata Ahmad Zaidi sinis.

Bagaimanapun, kata Ahmad Zaidi, dari sudut kesihatan pula, yang banyak mencemar udara adalah kereta yang bersesak-sesak di bandaraya itu.

"Seorang naik sebijik. Semua nak selesa. Kami penunggang motosikal tenang saja, cilok sini-sana.

"Cuma menteri kena bagi alternatif untuk mereka ini," kata Ahmad Zaidi.

Lihat Komen
ADS