Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO: Berani akui 'ketirisan' Felda saja tak cukup
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 12:45 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Pengakuan pengerusi Felda yang baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad bahawa berlaku ketirisan dalam syarikat kerajaan itu, termasuk anak syarikatnya merupakan langkah yang wajar dialu-alukan.

Bagaimanapun, kata Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW), pengakuan itu, termasuk arahan supaya semua anggota lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) meletakkan jawatan, tidak cukup untuk mengembalikan keyakinan kepada pengurusan FELDA.

“Tan Sri Shahrir seharusnya tidak berhenti sekadar mengaku bahawa terdapatnya ketirisan dalam FELDA,” kata pengerusi NOW Akmal Nasir.

“Sebaliknya, beliau perlu berani untuk mengambil tindakan tegas seperti yang dicadangkan untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka keadilan, mendapatkan kembali duit Felda yang hilang akibat ketirisan dan akhirnya memulihkan keyakinan peneroka-peneroka kepada Felda.”

Shahrir semalam mengakui “Felda banyak ketirisannya”, selain keputusan perniagaan tidak menguntungkan, sehingga menjejaskan kewangan dan terpaksa menjual sahamnya dalam Maybank.

Beliau juga semalam mengarahkan semua ahli lembaga pengarah FIC meletakkan jawatan dalam usaha rombakan besar-besaran syarikat tersebut.

FIC merupakan anak syarikat Felda yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

Dalam kenyataan hari ini, Akmal juga menuntut Shahrir mendedahkan anggaran ketirisan yang berlaku kerana “peneroka-peneroka Felda berhak untuk mengetahui keadaan sebenar”.

Akmal juga membangkitkan persoalan sama ada perkara itu telah dibawa kepada pihak berkuasa, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat sama ada ia mempunyai unsur jenayah atau rasuah.

“Jika belum, bilakah Tan Sri Shahrir akan membuat laporan polis atau SPRM?” kata Akmal.

“Apakah perancangan dan tindakan-tindakan yang akan diambil bagi mendapatkan kembali wang yang hilang akibat ketirisan?”

PAS bangkitkan 'aset bermasalah'

Sementara itu, bahagian Hal Ehwal Felda PAS pula mencadangkan kerajaan membuat penyiasatan terbuka melalui suruhanjaya bebas bagi menyiasat itu itu.

“Kami tidak mahu mereka yang menguruskan FIC terlepas dari kesalahan atas tindakan mereka sebelum ini membuat keputusan pelaburan dan pembelian aset yang menimbulkan masalah sepertimana disahkan oleh Tan Sri Shahrir dengan menyifatkan kelemahan tadbir urus itu berpunca daripada 'aset bermasalah' yang kini dimiliki FIC,” kata pengerusinya Naraza Muda.

Beliau membangkitkan beberapa keputusan perniagaan yang dipertikai mereka sebelum ini, seperti pembelian harta tanah mewah, hotel empat bintang dan asrama pelajar di London.

Lihat Komen
ADS