Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'MB Kedah cakap berdegar tapi macam tin kosong'
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 1:24 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Pemuda PAS Kedah mempersoalkan kerajaan negeri itu kerana masih belum menaik taraf Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kepada status universiti sejak penubuhannya pada 1995.

Ketua Pemudanya Mohd Azam Abd Samat berkata perkara itu membuktikan kegagalan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam mentadbir negeri berkenaan.

“Terbukti kelemahan pemerintahan Umno-BN Kedah hanya tahu cakap berdegar-degar, tetapi tidak lebih umpama tin kosong yang dipalu kuat apabila KUIN masih tidak melepasi syarat kelayakan untuk menjadi sebuah universiti.

“Ia mengukuhkan lagi imej lembab dan lemahnya pentadbiran dan pembangunan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kelihatan kemaruk meraih sokongan, sebaliknya mutu kerja dan perkhidmatan ditahap minima,” kata Mohd Azam dalam kenyataannya di Harakahdaily.

KUIN terletak di bawah kelola Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) dan tidak pernah dinaik taraf sejak tahun 1995.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilapor membayangkan hasrat untuk menaik taraf Kuin sebagai universiti penuh akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Jelasnya, ketika ini masih ada beberapa syarat yang belum dipenuhi menyebabkan permintaan itu tidak dapat diluluskan, lapor Utusan Online.

“Apabila saya meneliti memorandum menaik taraf itu, syaratnya cuma tak cukup sedikit saja lagi. Kalau cukup syarat, insya Allah saya akan luluskan untuk naik taraf ke universiti.

“Apa yang penting adalah kualiti pendidikan. Bila kita naik taraf, kena penuhi syarat dan bersandarkan memorandum tadi, syaratnya sudah cukup hampir dipenuhi,” Najib dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 23,000 rakyat yang hadir pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Padang Awam Kuala Ketil, di Baling semalam.

Tujuan politik 

Bagaimanapun, Mohd Azam mendakwa kerajaan Kedah di bawah pentadbiran Ahmad Bashah hanya menggunakan KUIN untuk tujuan politik semata-mata.

“Pemerintahan BN Kedah hakikatnya tidak pernah berminat meninggikan setiap perkara yang ada kaitan dengan agama kecuali sekadar untuk kepentingan politik.

“Bahkan, hampir membunuh mati KUIN apabila berhasrat menjualnya dahulu kepada pihak lain,” katanya.

Mohd Azam turut tidak menolak KUIN mungkin akan dijadikan modal politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti yang berlaku ke atas Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dinaik taraf kepada Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tahun lalu.

“Berbanding USAS, ternyata KUIN jauh memenuhi begitu banyak aspek kelayakan, termasuk pelbagai pencapaian serta pengiktirafan dalam dan luar negara.

“Namun, gimik dilakonkan BN ini membenarkan bahawa pasukan Bashah tidak bekerja dan gagal, melainkan mencipta lebih banyak helah dan mainan politik sahaja,” katanya.

Lihat Komen
ADS