Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBB bincang persiapan PRK Tanjung Datu Sabtu ini

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini untuk membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

Timbalan Ketua Wanita PBB yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan
Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata selain itu, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan mengenai kekosongan jawatan presiden PBB.

PRK Tanjung Datu bakal diadakan selepas Ketua Menteri yang kelima Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan mesyuarat berkaitan dengan PRK DUN Tanjung Datu akan diadakan esok di ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya bermula 9.30 pagi.

Mesyuarat SPR itu akan membincangkan tarikh hari penamaan calon, pengundian awal, pengundian dan senarai daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRK DUN Tanjung Datu.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Tanjung Datu, Fatimah berkata, pengumuman akan dibuat oleh Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atau Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

"Seperti biasa perkara mengenai calon akan dilakukan secara perbincangan dan persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima pada majlis 'Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina' di Miri hari ini.

Setakat ini, parti pembangkang PKR dilaporkan belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak manakala PAS Sarawak tidak akan bertanding sebagai menghormati Allahyarham Adenan.

Akhbar sebelum ini melaporkan antara calon yang diramal menjadi pilihan untuk bertanding pada PRK itu ialah balu kepada Allahyarham Adenan, Puan Sri Jamilah Anu dan anaknya Abdul Aziz Adenan serta bekas pegawai daerah Lundu Azmi Bujang. -Bernama

Lihat Komen
ADS