Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejuang wanita patut sokong pindaan Akta 355 - Asyraf Wajdi

Kaum wanita dan pejuang hak wanita harus menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 kerana ia dapat membela mereka daripada teraniaya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata cadangan untuk meminda Akta 355 itu antara lain dapat
meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dalam menghukum termasuk menaikkan kadar denda terhadap pesalah.

"Saya pelik pejuang yang dikatakan pejuang hak wanita membantah pindaan Akta 355. Mereka sepatutnya bersama-sama sebab kita nak menaikkan denda itu ke tahap lebih tinggi supaya wanita dapat dibela.

"Apabila melakukan sesuatu kezaliman terhadap wanita seperti tidak membayar nafkah, Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum dengan denda setakat RM5,000. Jadi, ia tak memadai dengan nilaian tanggungjawab terhadap wanita yang dibiarkan sengsara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis
menandatangani kontrak membabitkan 1,506 guru Kelas A-Quran & Fadhu Ain (KAFA) peringkat Pulau Pinang di Kepala batas, hari ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bagi meminda Akta 355 di Dewan Rakyat pada 24 November lepas.

Asyraf Wajdi berkata sudah tiba masanya untuk mengangkat sedikit kuasa Mahkamah Syariah dengan meningkatkan kadar denda yang setimpal dengan nilaian semasa.

"Selepas 32 tahun akta ini diperkenalkan, kita lihat kuasa menghukum yang ada hari ini iaitu denda RM5,000 nilaian 1994 dengan sekarang ini adalah berbeza," katanya.

Beliau menegaskan pindaan Akta 355 itu tidak ada kaitan dengan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan seperti dakwaan sesetengah pihak kerana akta itu adalah akta Persekutuan yang diluluskan di Parlimen dan meliputi bidang kuasa diperuntukkan dalam Parlimen.

"Sebab itulah kalau pun nak buat, pindaan ini akan dibawa ke Parlimen juga dan selagi mana ia berada dalam lingkungan Perlembagaan selagi itulah akta ini boleh dilaksanakan dan diluluskan," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS