Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pilihan raya kecil untuk DUN Sungai Air Tawar
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 4:50 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar akibat kematian wakil rakyat Kamarol Zaki Abdul Malik semalam tidak menjejaskan bilangan parti yang membentuk majoriti di Selangor.

Sehubungan itu, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

"Berdasarkan kepada Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5) sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku.

"Dengan syarat jika sesuatu kekosongan luar jangka dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri itu akan terbubar mengikut Fasal (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan saya memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Negeri adalah terjejas oleh kekosongan itu.

"Saya sudah memaklumkan kepada SPR bahawa kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah tidak terjejas oleh kekosongan kerusi N01 (Sungai Air Tawar)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham dan berkata DUN Selangor telah kehilangan seorang wakil yang komited dengan amanah yang telah diberikan kepada beliau oleh rakyat.

Kamarol Zaki, ditemui meninggal dunia di ruang rehat kediamannya kira-kira jam 8.30 pagi semalam selepas gagal menghadiri satu program pada jam 8 pagi.

ADUN Sungai Air Tawar itu dilaporkan meninggal dunia lewat malam kelmarin dan berada di rumah seorang diri.

Lihat Komen
ADS