Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman enggan mengulas dakwaan anggota Parlimen Shah Alam bahawa anaknya yang juga suspek utama kes rusuhan di luar bangunan parlimen pada November lalu tidak ditampilkan dalam kawad cam.

Sebaliknya, Tajuddin yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani berkata beliau akan mengadakan sidang media bagi menjawab segala persoalan mengenai perkara tersebut.

"Lantaklah dia (Khalid Samad), percayalah dia.

"Saya akan buat sidang media nanti," kata Tajuddin ringkas kepada Malaysiakini.

Khalid pada hari Isnin mendakwa hanya individu menjadi pemerhati kejadian dibawa dalam sesi kawad cam berkenaan.

Beliau antaranya mendakwa beberapa pihak, termasuk anak Tajuddin yang terlibat tiada dalam kawad cam yang dihadirinya.

Bagaimanapun dakwaan Khalid itu dinafikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Di mana kata Amar, dalam sesi 10 Januari lalu, dua orang daripada 11 suspek telah berjaya dicam.

“Kesemua suspek yang ditangkap telah pun mengambil bahagian dalam sesi kawad cam, termasuk anak kepada timbalan menteri yang dimaksudkan melainkan, hanya satu suspek yang masih belum dikenal pasti,” kata Amar Singh.

Katanya lagi, sesi kawad cam kes mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh itu sudah dua kali diadakan, termasuk kelmarin mengikut standard operasi piawai (SOP) dan dihadiri peguam kedua-dua pihak.

Dalam kejadian pada 24 November lalu, Khalid diserbu kumpulan penyokong Tajuddin dari Pasir Salak, Perak, ekoran pertikaman lidah membabitkan perkataan "sial" sesama mereka.

Polis kemudian menahan 11 suspek - termasuk tiga wanita - untuk membantu siasatan.

Seorang daripada mereka ialah anak Tajuddin sendiri.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan maklum balas dari anak Tajuddin sendiri.

Lihat Komen
ADS