Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN Rukun Negara adalah ideologi nasional yang paling lama di negara ini. Sejak diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1970, nadi Rukun Negara masih mengalir deras dalam era pemodenan ini. Biarpun ia cuba diketepikan oleh segelintir pihak dengan alasan peribadi dan alasan politik, Rukun Negara tidak reput dek hujan, tidak lekang dek panas.

Tegap dan hebatnya Rukun negara ini dapat dilihat sedari awal penubuhannya. Peristiwa parang terbang, amukan berdarah dan rusuhan kaum yang memisahkan tiga kaum utama di sebuah negara majmuk ini telah berjaya dipadamkan dengan megahnya oleh Rukun Negara.

Hasil kesepakatan individu-individu penting dalam Majlis Perundingan Nasional dan Majlis Gerakan Nasional, lahirlah sebuah ideologi yang berfungsi sebagai air yang memadam api perkauman.

Rukun Negara ini kemudian dikempen secara besar-besaran sedari awal penciptaannya. Apabila ia diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1970, maka seluruh negara pada ketika itu mengambil langkah besar-besaran untuk mempromosikan Rukun Negara agar ia terus meresap ke dalam jiwa masyarakat.

Kempen oleh pegawai kerajaan, cadangan menjadikannya mata pelajaran dalam sukatan pelajaran di sekolah, penubuhan skuad sukarelawan penerangan Rukun Negara menjadikan inisiatif mempromosikannya benar-benar hebat.

Pada satu tahap, Rukun Negara telah dijadikan sebagai suatu soalan wajib dalam temu duga untuk mereka yang hendak meminta kerja. Begitu besar peranan Rukun Negara pada ketika itu.

Sekali bah, pantai berubah. Perginya allahyarham Tun Abdul Razak memperlihatkan Rukun Negara sedikit demi sedikit diambil mudah dan dipandang lewa. Gagasan baru dicipta, ideologi baru cuba diterjemah dan sebagai akibatnya, Rukun Negara diketepikan dan senyap sunyi ideologi ini tatkala tiada siapa yang memperjuangkannya.

Tetapi sukar untuk terus melupakan sebuah ideologi yang mempunyai tapak yang sudah kukuh di bumi majmuk ini.

Ternyata gagasan lain tidak mampu menandingi kepentingan yang dikandung dalam prinsip dan objektif Rukun Negara yang dicipta oleh mereka yang benar-benar ikhlas ingin melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Dewasa ini, Rukun Negara perlu diangkat semula tarafnya sebagai sebuah ideologi yang diterima umum. Rukun Negara menjangkaui kepentingan politik, kepentingan individu dan kepentingan wang.

Ia adalah kepentingan terhadap perpaduan negara yang sejak zahirnya dibina dengan sebuah ideologi yang cukup sifat baik dari segi matlamat dan juga prinsipnya.

Lima matlamat, lima prinsip

Lima matlamat dan lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ini seharusnya menjadi cita-cita murni setiap warganegara Malaysia. Ia harus difahami dan dijadikan amalan hidup.

Menyedari hakikat ini, maka sekali lagi satu inisiatif digerakkan untuk meletakkan Rukun Negara di tempat yang tertinggi yang boleh sampai ke seluruh jiwa masyarakat.

Inisiatif yang dimaksudkan ialah meletakkan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia (RMP).

Inisiatif yang dibawakan oleh sekumpulan aktivis masyarakat disokong oleh Yayasan 1Malaysia, sebuah NGO yang bebas yang bertindak sebagai sekretariat inisiatif ini.

‘Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan’ ini seharusnya diambil sebagai suatu usaha yang tidak berkepentingan peribadi sebaliknya demi masa hadapan sebuah kedaulatan perundangan dan perpaduan generasi masa hadapan.

Amatlah elok sekiranya, sebuah negara membangun yang memasuki ke era negara maju mempunyai perlembagaan setaraf dengan negara maju, dengan mempunyai mukadimah perlembagaan yang menepati ciri-ciri dan keperluan negara berbilang kaum.

Justeru, Rukun Negara dipilih sebagai mukadimah perlembagaan kerana objektif dan prinsipnya adalah jantung dan hati kepada perlembagaan Malaysia.

Rukun Negara merupakan sebuah ringkasan mudah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh setiap warganegara Malaysia yang mencerminkan negara ini secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, pelaksanaan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada perlembagaan adalah sesuatu yang perlu untuk kita sama-sama pertingkatkan semula nilai Rukun Negara di samping melengkapkan kekurangan perlembagaan Malaysia yang masih belum mempunyai mukadimah.

Percayalah, inisiatif ini bukan suatu kerja yang sia-sia. Inisiatif ini adalah satu langkah yang mempunyai serampang dua mata.

Pertama, untuk mengembalikan sebuah kegemilangan satu ideologi yang ditinggalkan dan perlu kita jaga.

Kedua, untuk perlembagaan kita, mempunyai sebuah mukadimah yang mencerminkan warganegara Malaysia yang bagaimana yang hendak kita potretkan kepada khalayak ramai.

Ini adalah tugas kita semua untuk menggerakkan semula sebuah ideologi nasional untuk kembali menjadi buah mulut masyarakat.

Ini adalah tugas kita semua untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu bawah panji perlembagaan negara kita.

Ini adalah masa untuk kita semua menggembleng tenaga untuk mencari jalan meningkatkan kembali rasa perpaduan kita antara sesama bangsa tanpa mengira kaum.

Lantas, marilah seluruh warganegara Malaysia, tidak kira yang berada paling tinggi di bangunan di Putrajaya hinggalah mereka yang selesa hidup bersama mergastua.

Kecaknaan kita akan membawa kita berhasil untuk mengembalikan kegemilangan Rukun Negara. Kita perlu bersatu-padu dalam memberikan sokongan agar usaha murni ini dapat mendatangkan hasil kepada bukan saja diri kita, malah kepada generasi cucu-cicit kita.

Jadikan Rukun Negara mukadimah perlembagaan, semoga Malaysia akan kekal hidup dalam kibaran perpaduan.


ISHAK SAIROZI eksekutif Yayasan 1Malaysia.

Lihat Komen
ADS