Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN Daripada 2016 sehingga awal tahun ini, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) pelbagai universiti tempatan telah menjalankan prosiding dan tindakan disiplin terhadap sekurang-kurangnya sepuluh mahasiswa yang lantang menyuarakan pendirian terhadap skandal 1MDB.

Dalam Laporan Dunia Tahun 2017 yang disediakan oleh Human Rights Watch baru-baru ini, jelas keadaan hak asasi manusia di Malaysia semakin teruk dari semasa ke semasa.

Ini terutamanya apabila kerajaan Najib Razak cuba sedaya upaya membisukan pihak yang menyuarakan bantahan dan pandangan terhadap skandal 1MDB ini.

Laporan Dunia Tahun 2017 telah menyenaraikan nama ahli politik serta aktivis masyarakat yang ditindas atas bantahan mereka terhadap skandal 1MDB.

Bagaimanapun, sekumpulan mahasiswa yang telah diambil tindakan prosiding oleh pihak HEP tidak disenaraikan dalam laporan tersebut.

Kemungkinan Laporan Dunia Tahun 2017 telah mengkategorikan insiden penindasan terhadap mahasiswa sebagai tindakan dalaman pihak universiti, makanya ia tidak disenaraikan sebagai penindasan politik.

Namun, sebenarnya pihak universiti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk menzalimi pemimpin mahasiswa yang menentang skandal 1MDB.

Sesungguhnya AUKU adalah alat kerajaan yang bertujuan untuk melenyapkan segala gerakan mahasiswa. Maka kewujudan AUKU jelas menggambarkan niat politik sebenar kerajaan.

Sehubungan itu, kesemua aktivis mahasiswa yang diambil tindakan bawah AUKU merupakan mangsa penindasan politik yang didalangi oleh rejim Najib Razak.

Oleh itu, Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan akan menyenaraikan sepuluh mahasiswa yang telah diambil tindakan disiplin oleh pihak universiti lantaran tentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

Diharapkan pendedahan ini dapat menarik perhatian masyarakat umum terhadap tindakan berani mereka dan seterusnya akan bersolidariti serta menyokong kesemua aktivis mahasiswa yang tidak gentar dalam perjuangan melawan rejim zalim ini.

Pada Julai tahun lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memulakan saman sivil berhubung dengan dakwaan penyelewengan dana bagi 1MDB.

Saman tersebut adalah bertujuan untuk mengambil balik AS$1 bilion yang telah diselewengkan oleh sesetengah individu melalui pembelian aset di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Kebobrokan

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa AS$3.5 lebih bilion telah diselewengkan dalam beberapa tahun ini dan penyelewengan ini adalah melibatkan beberapa penjawat awam di negara kita termasuklah Malaysian Official 1 (MO1).

Kebobrokan rejim MO1 telah mewujudkan pelbagai suara bantahan terhadap skandal tersebut yang memalukan nama negara di seantero dunia.

Pemimpin mahasiswa di pelbagai universiti tempatan turut menyuarakan pendirian melalui pelbagai tindakan penentangan untuk menyedarkan seluruh rakyat Malaysia mengenai perihal rasuah kerajaan BN.

Kumpulan mahasiswa tersebut turut menyeru untuk menangkap MO1 yang jelas menggelapkan wang rakyat. Sehingga kini, terdapatnya beberapa pemimpin mahasiswa yang telah dikenakan tindakan prosiding lantaran aksi penentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

Pertama, empat mahasiswa/wi Universiti Malaya (UM) yang menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah dikenakan tindakan prosiding oleh pihak HEP UM selepas tamatnya perhimpunan tersebut.

Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali telah digantung pengajian mereka selama satu semester dan didenda sebanyak RM400, manakala Suhail Wan Azahar turut didenda RM400.

Seterusnya, pemimpin mahasiswa UKM, Asheeq Ali yang turut menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah digantung pengajiannya selama satu semester oleh pihak HEP UKM dan didenda sebanyak RM200.00.

Asheeq Ali telah menyaman pihak UKM dan kerajaan persekutuan atas tindakan mereka yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan yakni tidak menghormati hak perlembagaan beliau untuk menyertai perhimpunan.

Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan telah menganjurkan kempen derma untuk membantu Asheeq Ali dalam saman kes ini.

Bermulanya awal Januari tahun ini, aktivis mahasiswa UiTM, Ahmad Ariffin turut diajukan surat prosiding oleh pihak universiti UiTM atas penglibatannya dalam perhimpunan “Tangkap MO1” dan BERSIH5.

Pihak universiti mendakwa bahawa mahasiswa tidak bolehlah menyertai sebarang perhimpunan tanpa kebenaran mereka.

Pada 11 Januari 2017, terdapatnya lagi 4 pemimpin mahasiswa yang menerima surat prosiding dan tatatertib oleh pihak HEP UM.

Antara mereka adalah Timbalan Presiden Kesatuan Mahasiswa Malaysia merangkap bekas Presiden UMANY, Ho Chi Yang, Timbalan Presiden UMANY merangkap ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Tan Jia You, Setiausaha UMANY, Lau Li Yang dan Ketua Biro Publisiti UMANY, Chua Hun Ti.

Keempat-empat mereka telah mempamerkan plakad ketika forum 1MDB anjuran JASA untuk menyatakan penentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

Menteri, MP membisu

Ketika seluruh dunia sedang menyusuli skandal 1MDB dan digemparkan dengan kewujudan MO1, pelbagai universiti tempatan pula sibuk menzalimi pimpinan mahasiswa yang lantang bersuara dalam menentang penyelewengan dana 1MDB.

Apabila para menteri dan ahli parlimen BN memilih untuk membisu terhadap isu 1MDB, terdapatnya sekumpulan mahasiswa yang berani dan tegas tampil melawan rejim MO1 demi keadilan untuk semua.

Menurut maklumat Academic Freedom Monitor, hanya terdapatnya dua negara ASEAN yang pernah mengambil tindakan terhadap pensyarah ataupun mahasiswa pada tahun 2016 dan dua negara tersebut merupakan Thailand dan Malaysia.

Tatkala Malaysia masih berada di paras rendah dalam penilaian bagi Programme for International Student Assesment (PISA) dan terus merosot dalam kedudukan ranking universiti di seluruh dunia, universiti negara kita pula menjadi termasyhur hanya disebabkan tindakan pihak universiti yang tidak berhenti-henti dalam menindas mahasiswa.

Nescaya hal ini telah memalukan semua rakyat Malaysia.

Sebagai pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, saya menyeru kerajaan BN dan pihak universiti agar berhenti untuk menzalimi mahasiswa dengan AUKU.

Pihak kerajaan mahupun universiti sepatutnya menghormati hak bersuara dan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pimpinan mahasiswa tersebut hanya menyuarakan bantahan mereka terhadap skandal 1MDB dan maka segala tindakan susulan yang diambil terhadap mereka adalah tidak adil dan munasabah lantaran mereka hanyalah bersuara demi rakyat jelata.

Saya turut mengutuk sekeras-kerasnya segala tindakan yang cuba menyekat kebebasan akademik dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak HEP terutamanya penganjuran forum 1MDB yang jelas merupakan sesi cuci otak.

Tindakan kerajaan yang menindas mahasiswa bukan sahaja telah mencabuli semangat kebebasan akademik universiti, malah ia turut merupakan langkah rejim MO1 yang cuba untuk menutup segala kesalahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilakukannya selama ini.

Pimpinan mahasiswa tersebut yang berani dan berintegriti merupakan aset yang berharga bagi tanah air kita. Seperti rakyat Malaysia yang lumrah, pimpinan mahasiswa tersebut mempunyai nilai murni dan keadilan serta dianugerahkan semangat untuk berjuang habis-habisan demi masyarakat umum.

Kepada semua rakyat Malaysia, mereka bukan sahaja berjuang untuk generasi ini, bahkan demi anak cucu anda semua. Ayuh memberikan sokongan dan menyatakan solidariti terhadap mereka supaya pimpinan mahasiswa ini boleh terus lawan tetap lawan dalam perjuangan ini.


LEONG YU SHENG pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan.

Lihat Komen
ADS