Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Najib Razak menggesa dalang kepada serangan yang dilakukan ke atas etnik Rohingya di Myanmar dibawa kemuka pengadilan.

Katanya, Myanmar juga harus segera menghentikan tindakan berbentuk diskriminasi dan serangan terhadap sesuatu etnik.

Selain itu perdana menteri turut mendesak supaya Naypyidaw menyediakan akses tanpa had kepada bantuan kemanusiaan untukdisalurkan kepada kawasan mengalami krisis kemanusiaan berkenaan.

"Pada masa sama, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta kerajaan Myanmar memberi jaminan keselamatan untuk semua pelarian Rohingya kembali ke tempat asal masing-masing.

"Masalah ini perlu diselesaikan dari peringkat akar umbi, mencakupi perancangan komprehensif secara jangka panjang untuk semua pihak berkaitan," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya di sesi tergempar mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC mengenai situasi minoriti Muslim Rohingya di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh Naypyidaw kerana dianggap pendatang dari negara jiran.

Bukti komitmen OIC

Pada masa sama masyarakat beragama Islam itu terdedah kepada penindasan dan diskriminasi penduduk negara berkenaan yang majoriti daripada etnik Bamar, diikuti Shan dan Karen.

Myanmar sebelum ini diperintah oleh junta tentera sehinggalah tokoh pembangkang diuar-uarkan sebagai pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyu membawa partinya memenangi pilihan raya pada 2015.

Sesetengah pihak berharap Suu Kyi dapat membawa perubahan kepada nasib Rohingya, terutama dengan kedudukannya sebagai pemenang Anugerah Keamanan Nobel pada 1991.

Bagaimanapun sehingga kini dia tidak menunjukkan sebarang tindakan signifikan bagi membantu etnik Rohingya.

Sementara itu Najib turut mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM10 juta bagi membantu usaha kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di wilayah Rakhine yang menjadi tempat majoriti etnik Rohingya menetap.

Dana itu, katanya, akan digunakan bagi membina infrastruktur seperti institusi pendidikan dan perubatan untuk penduduk setempat.

“Saya juga ingin mengumumkan kerajaan Malaysia akan memberi sumbangan RM10 juta sebagai bantuan kemanusiaan dan pembangunan di Rakhine,” katanya.

Najib berkata, OIC yang dianggotai 57 negara mewakili 1.6 bilion penduduk tidak seharusnya berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat kekejaman yang berlaku

Katanya lagi, Malaysia akan mencetuskan sokongan terhadap program kerjasama teknikal Malaysia (MTCP), membabitkan Myanmar selaku penerima terbesar dalam kalangan negara Asean.

"Saya minta semua anggota OIC bersatu atas nama dan semangat Islamiah kerana menjadi tanggungjawab kita secara kolektif untuk membantu saudara seagama di wilayah Rakhine.

“Kita perlu membantu mereka dalam tragedi kemanusiaan ini dengan memberikan masa depan yang lebih cerah dan selamat, sejajar hak setiap manusia," katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam ucapannya pula berkata Myanmar perlu bersedia untuk bekerjasama bagi membantu menyelesaikan krisis yang berlarutan sejak sekian lama.

"Sesi tergempar hari ini menunjukkan komitmen negara anggota OIC dan masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan isu yang menyebabkan masyarakat Rohingya menderita sejak puluhan tahun lalu.

"Sejak bertahun lamanya juga, ramai masyarakat Rohingya meninggalkan Myanmar untuk mencari masa depan lebih cerah di negara lain termasuk Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS