Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
56,000 Rohingya akan diberi latihan separa mahir

Malaysia berhasrat menjadikan 56,000 etnik Rohingya yang memegang kad berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk diberi peluang menjalani latihan separa mahir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu bagi menjadikan etnik tersebut daripada liabiliti kepada aset negara.

“Terutamanya untuk rakyat Rohingya yang mempunyai kad UNHCR dianggarkan berjumlah 56,000 orang akan diberikan beberapa kemudahan pertamanya untuk diberikan latihan dalam bidang separa mahir yang kita akan perincikan perlaksanaannya.

“Mereka juga dapat diberikan peluang pekerjaan dengan terus memegang kad UNHCR dan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) agar kita dapat menukarkan status mereka kepada liabiliti kepada aset sebagai tenaga kerja tambahan ikut bidang-bidang tertentu yang diizinkan ikut perundangan.

“Ini sedang dilakukan perinciannya dan itu akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sesi tergempar mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC mengenai situasi minoriti Muslim Rohingya di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Setakat Oktober tahun lepas, direkodkan seramai 54,856 warga Rohingya di Malaysia berdaftar dengan UNHCR.

Selain etnik Rohingya, terdapat juga pelarian Myanmar daripada etnik Chin (41,420), Muslim Myanmar (10,928), Rakhine/Arakan serta lain-lain etnik (5,221).

Pada November tahu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan projek perintis untuk memberi kebenaran bekerja kepada 300 orang warga Rohingya berdaftar di negara ini.

Kata Nur Jazlan, mereka yang berkelayakan serta memenuhi syarat ditetapkan kerajaan akan dibenarkan bekerja di sektor perladangan dan pengilangan.

Semalam Zahid berkata pelarian yang memegang kad UNHCR untuk memiliki PLKS untuk bekerja di negara ini dilakukan secara berperingkat.

Selain itu, pihaknya akan melengkapkan jumlah peserta projek perintis itu dari 150 orang ketika ini kepada 300 orang.

Lihat Komen
ADS